SMJ Energy jana pendapatan sekitar RM92 juta

KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn. Bhd. (SMJ Energy) mengumumkan kejayaan penghantaran minyak mentah kesembilannya daripada Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) Samarang di Terminal Minyak Mentah Labuan, yang dijangka menjana hasil jualan kira-kira RM92 juta.

“Pencapaian terbaharu itu menandakan satu lagi kejayaan penting dalam prestasi portfolio huluan syarikat, sekali gus mengukuhkan kedudukan aset Samarang sebagai penyumbang strategik dan stabil kepada aliran pendapatan SMJ Energy.

“Sehingga kini, syarikat telah mencatatkan hasil kumulatif jualan minyak mentah dan gas sebanyak kira-kira RM1.7 bilion, termasuk RM158 juta sejak awal tahun 2025,” kata SMJ Energy dalam sebuah kenyataan media hari ini.

Kejayaan itu turut mencerminkan keteguhan pelaburan SMJ Energy dalam PSC Samarang serta komitmen berterusan syarikat terhadap kecemerlangan operasi dan penciptaan nilai.

“PSC Samarang merupakan aset pengeluaran luar pesisir yang terletak di perairan Sabah dan telah menunjukkan rekod pengeluaran yang stabil.

“Ia merupakan pembekal tunggal gas kepada Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) serta tiga loji janakuasa gas di sekitar Kota Kinabalu.

“Selain itu, PSC Samarang juga memainkan peranan penting dalam membekalkan gas ke Loji Metanol Labuan dan Loji Janakuasa SESB di Labuan,” katanya lagi

SMJ Energy terus meneroka peluang pengoptimuman dalam medan pengeluaran tersebut bagi meningkatkan hasil dan memaksimumkan pulangan pelaburan.

Tinggalkan komen