Ranau bakal destinasi kedua Jelajah Perkasa Usahawan Wanita Muda IDS

KOTA KINABALU: Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah bakal singgah di lokasi kedua bagi acara Siri Jelajah Keusahawanan Wanita Muda untuk terus memperkasa wanita muda sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi berasaskan komuniti.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ts. Dr. Ramzah Dambul berkata, program itu sebagai satu komitmen jangka panjang dalam memperkukuh peranan wanita dalam pembangunan akar umbi.

“Kita bukan sekadar melatih usahawan muda, tetapi mencetus gelombang baharu transformasi ekonomi luar bandar yang diterajui wanita muda dan di Ranau, kita ingin menekankan bahawa wanita muda bukan sekadar menyokong ekonomi, malah menjadi agen perubahan dan pertumbuhan mampan dalam komuniti mereka.

“Ranau telah dipilih sebagai lokasi kedua dalam Siri Jelajah Keusahawanan Wanita Muda yang kita akan adalah pada 17 Mei ini, di Dewan Masyarakat Ranau.

“Ini adalah selepas kejayaan penganjuran pertama di Beaufort pada 26 April 2025,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini. 

Menurut Ramzah, program itu akan menampilkan sesi perkongsian ilmu dan motivasi bersama beberapa usahawan tempatan yang berjaya. 

“Antara topik yang akan diketengahkan termasuklah keusahawanan sosial berasaskan nilai komuniti, pembangunan perniagaan pelancongan yang berdaya saing, penghasilan aksesori etnik kontemporari melalui koperasi kraf, serta kepentingan pemasaran digital bagi perusahaan kecil. 

“Selain itu, para peserta akan diperkenalkan dengan Skim Pembiayaan DAYANG, satu inisiatif pembiayaan yang ditawarkan oleh PPS khusus untuk membantu wanita muda memulakan atau mengembangkan perniagaan mereka,” katanya lagi.

Program itu dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) dan Pejabat Daerah Ranau, akan menganjurkan program ‘Memperkasa Usahawan Muda Wanita Sabah: Kuasa Wanita, Kuasa Ekonomi’.

Majlis penutupan akan disempurnakan oleh Menteri Kewangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun. 

“Wanita muda yang berminat dalam bidang keusahawanan di Ranau dan kawasan sekitar digalakkan hadir dan merebut peluang ini untuk menimba ilmu, membina rangkaian, serta mendapatkan pelbagai bentuk sokongan keusahawanan.

“Penyertaan untuk program ini adalah percuma dan kita mahu lebih ramai peserta yang hadir sama-sama memeriahkan acara kita di Ranau nanti,” jelas Ramzah lagi.

Untuk maklumat lanjut mengenai program itu, anda boleh berhubung dengan Penyelaras Program, Fiona V. Loijon, melalui emel di fiona.loijon@ids.org.my atau hubungi 088-450 500.

 

Tinggalkan komen