YPNM Sabah buat kunjungan hormat, bertemu KPDN Sabah

KOTA KINABALU: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) cawangan Sabah mengadakan kunjungan hormat ke atas Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sabah, Shahril Nizam Shahidin, di Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Negeri Sabah, di sini, hari ini.

Kunjungan itu bertujuan untuk memperkukuh hubungan kerjasama strategik antara YPNM dan KPDN Sabah, khususnya dalam mempergiat program-program kepenggunaan di seluruh negeri Sabah.

Delegasi YPNM Sabah diketuai oleh Pengerusinya David Chan, serta diiringi oleh ahli jawatankuasa Ts. Yuzrian Efen Yunus dan Halizah Din.

Pihak kementerian pula diwakili oleh Ketua Seksyen Pendayaupayaan Pengguna Rayner Adonis, dan Naini @ Petronella Anji.

Menurut David, YPNM Sabah berperanan sebagai rakan strategik kerajaan dalam usaha memantau harga barangan serta memastikan pematuhan terhadap penandaan harga dan perkhidmatan.

“Di samping itu, yayasan ini juga bertindak sebagai medium penyampaian maklumat kepenggunaan kepada masyarakat umum.

“YPNM Sabah bukan sekadar menjadi ‘mata dan telinga’ kerajaan, malah kami turut komited menjadi pemangkin kepada gaya hidup lestari dalam kalangan rakyat, ke arah penggunaan sumber secara optimum, kreatif dan berhemah,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya menyambut baik sebarang kerjasama masa depan bersama KPDN Sabah dalam memperkasakan lagi hak dan kesedaran pengguna di negeri Sabah.

“Kita alu-alukan sebarang kerjasama untuk usaha kita memperkasa hak pengguna di Sabah dan kita juga berharap jalinan mesra bersama kementerian dapat terus dikekalkan,” ujarnya.

Tinggalkan komen