UPKO dan PBRS jambatan Sabah di Putrajaya, selesaikan tuntutan MA63

KOTA KINABALU: Dua parti komponen Kerajaan Perpaduan, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS), menyifatkan diri mereka sebagai “jambatan Sabah di Putrajaya” dalam memperjuangkan isu-isu utama negeri termasuk Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan Presiden UPKO Datuk Ewon Benedick dan Presiden PBRS Datuk Arthur Joseph Kurup, sembilan tuntutan di bawah MA63 telah diselesaikan oleh Kerajaan MADANI, manakala empat lagi telah diselesaikan semasa pentadbiran terdahulu.

“Kami menyuarakan pelbagai isu Sabah melalui platform politik masing-masing, termasuk dalam Kabinet, dan hasilnya telah membuahkan kejayaan menerusi pendekatan rundingan dan kerjasama, bukan konfrontasi,” kata mereka dalam sebuah kenyataan, di sini, hari ini.

UPKO dan PBRS turut menegaskan bahawa komitmen mereka dalam memperjuangkan baki tuntutan MA63 serta pembangunan berteraskan pendekatan “Sabah First” menerusi Rancangan Malaysia ke-13 (2026–2030).

Kedua-dua parti juga bersetuju bahawa gabungan politik Sabah menjelang pilihan raya negeri perlu berpaksikan aspirasi tempatan tanpa menjejaskan kestabilan politik dan keharmonian rakyat.

“Kami akan terus menyumbang kepada perpaduan rakyat Sabah dan pada masa sama mengukuhkan kesatuan rakyat Malaysia,” ujar kenyataan bersama itu lagi.

Tinggalkan komen