Tingkat kesedaran mengenai derma darah: Hajiji

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menzahirkan hasrat untuk melihat lebih banyak program kesedaran mengenai pendermaan darah dilaksanakan di seluruh negeri.

Menurut beliau, usaha memberi kesedaran tentang kepentingan menderma darah memerlukan kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan dan sektor awam.

“Usaha ini mampu meningkatkan kesedaran tentang pendermaan darah dan menarik lebih ramai orang awam untuk menjadi penderma tetap.

“Sesungguhnya, menderma darah secara sukarela dapat menyelamatkan nyawa pesakit,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan sempena sambutan Hari Jururawat Peringkat Negeri 2025 dan program derma darah yang diadakan di lobi utama Hospital Queen Elizabeth II, di sini hari ini.

Ucapan tersebut disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerja Raya, Datuk Ir. Shahelmey Yahya.

Tambah Hajiji, keperluan unit darah untuk kegunaan hospital di seluruh Sabah masih belum dapat dipenuhi sepenuhnya berdasarkan jumlah darah yang terkumpul setakat ini.

“Saya dimaklumkan bahawa keperluan harian darah di Sabah adalah sebanyak 300 unit.

“Jika dilihat kepada rekod tahunan, kita memerlukan kira-kira 110,000 hingga 120,000 unit darah untuk memenuhi keperluan pesakit. Namun, jumlah darah yang berjaya dikumpul setiap tahun masih belum mencukupi.

“Kita hanya memperoleh sekitar 75,000 unit setahun,” jelasnya.

Dalam pada itu, Hajiji turut menegaskan bahawa kualiti sistem penjagaan kesihatan sangat bergantung kepada tenaga kerja kejururawatan.

Katanya, pelaburan dalam latihan, kebajikan dan pembangunan kerjaya jururawat adalah penting bagi menjamin kelestarian sistem kesihatan negara.

“Kerajaan Negeri sentiasa menghargai dan menyokong para jururawat yang berkhidmat di Sabah, yang sanggup berkorban masa dan tenaga demi menjaga kesihatan rakyat.

“Saya berharap semua jururawat akan terus berusaha meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan, khususnya di negeri ini,” katanya lagi.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada jururawat yang disifatkan sebagai tunjang kepada sistem kesihatan negara.

“Sambutan Hari Jururawat bukan sekadar acara simbolik, tetapi merupakan satu pengiktirafan besar terhadap golongan yang menjadi tulang belakang sistem penjagaan kesihatan negara, iaitu jururawat kita.

“Selaras dengan tema tahun ini, ‘Jururawat Kita, Masa Depan Kita: Prihatin Terhadap Jururawat Mengukuhkan Ekonomi’, peranan jururawat bukan sekadar sebagai penjaga pesakit di hospital. Mereka juga merupakan pemangkin kesejahteraan komuniti, pendidik kesihatan dan petugas barisan hadapan dalam menangani krisis kesihatan,” tambahnya.

Hajiji turut mengimbas kembali peranan luar biasa jururawat semasa pandemik COVID-19 beberapa tahun lalu, bukan sahaja dalam aspek rawatan dan pemantauan, malah dari segi sokongan emosi dan moral kepada pesakit serta ahli keluarga mereka.

“Ada yang terpaksa berpisah dengan keluarga, pasangan dan anak-anak demi melaksanakan tanggungjawab ketika itu. Sebenarnya, mereka adalah wira yang tidak didendangkan, tabah dan cekal bekerja dalam pelbagai keadaan mencabar, sama ada di wad, unit kecemasan, klinik kesihatan luar bandar mahupun di kawasan bencana,” ujarnya.

Tinggalkan komen