KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr. Jeffrey G Kitingan menegaskan bahawa slogan “Sabah untuk Sabahan” bukan satu bentuk hasutan atau sentimen memecah-belahkan, sebaliknya adalah tuntutan sah terhadap hak dan maruah politik rakyat Sabah yang telah lama dinafikan.
Mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang menyifatkan slogan itu sebagai tidak membina, Jeffrey berkata kenyataan sedemikian menunjukkan keangkuhan pusat dan kegagalan memahami sejarah pembentukan Malaysia yang melibatkan Sabah sebagai rakan setaraf melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
“Sabah bukan negeri yang boleh dipandang remah, Sabah bukan jajahan Tanah Melayu, dan tidak akan menjadi begitu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini malam tadi.
Menurut Jeffrey, sejak tahun 1976, pelbagai hak Sabah telah dikikis termasuk pengambilalihan hasil minyak dan gas oleh PETRONAS, kemasukan pendatang haram melalui projek IC, dan penghakisan status Sabah sebagai negara dalam perlembagaan.
Beliau turut menyelar penguasaan jawatan persekutuan oleh orang Semenanjung di Sabah serta kegagalan melaksanakan janji Borneonisasi.
“Kami tidak perlukan kebenaran Putrajaya untuk menyuarakan aspirasi dan apa yang kami rasakan dalam perjuangan kami.
“Jika Malaysia mahu kekal relevan, ia mesti berdasarkan kerjasama sejati, bukan penguasaan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Jeffrey turut menegaskan bahawa kerjasama dengan Kerajaan Pusat hanya akan diteruskan jika ianya berlandaskan hormat dan kesaksamaan.
Selain itu, beliau turut mengingatkan bahawa masa depan negeri Sabah akan ditentukan oleh rakyat Sabah, bukan pihak luar dari Sabah (Putrajaya).
