Sabah eksport kontena pertama nanas MD2 ke Singapura

KOTA KINABALU: Sabah melakar sejarah baru dalam industri pertanian apabila mengeksport kontena pertama nanas MD2 ke Singapura, hasil usaha syarikat Aqina Borneo Sdn. Bhd.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Dr. Jeffrey G. Kitingan berkata, kejayaan itu adalah satu pencapaian penting bagi sektor pertanian negeri, khususnya industri nanas.

“Aqina Borneo telah mula mengusahakan tanaman nanas MD2 di atas tanah seluas 400 ekar yang disewa daripada Lembaga Kemajuan Perusahaan Pertanian Negeri Sabah (KPD) sejak Februari 2021.

“Sehingga kini, sebanyak 123 ekar telah ditanam dan memberi manfaat pekerjaan kepada 30 penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir dan melancarkan penghantaran kontena itu di sini, hari ini. 

Menurut Jeffrey, Aqina Borneo turut bekerjasama dengan Agrobank menerusi Program Agro Komuniti B40 yang melibatkan 11 peserta, di mana setiap peserta mengusahakan lima ekar tanah.

“Program ini bukan sahaja menyediakan pembiayaan, malah latihan menyeluruh dalam aspek teknikal, pengurusan dan pemasaran turut diberikan.

“Semua hasil yang dikeluarkan peserta akan dibeli oleh Aqina, menjadikan projek ini sebagai satu peluang ekonomi yang mapan kepada golongan B40,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Jeffrey turut menzahirkan harapan untuk melihat kejayaan itu sebagai sebuah inspirasi yang mampu memberi dorongan kepada lebih ramai petani untuk terlibat dalam penanaman nanas secara komersial.

“Syabas dan tahniah kepada Aqina Borneo atas pencapaian itu dan menyatakan sokongan agar kerjasama antara syarikat tersebut dan KPD terus diperluas ke kawasan lain di Sabah demi meningkatkan pengeluaran makanan negeri.

“Semoga usaha ini dapat memberi dorongan dan menarik minat lebih ramai petani di luar sana,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen