PMR 2025 bantu usahawan di peringkat daerah

TAWAU: Program Madani Rakyat (PMR) di peringkat daerah dijangka mampu memberi peluang kepada golongan usahawan tempatan untuk mendapatkan maklumat lebih terperinci berkaitan program keusahawanan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata PMR turut menjadi sebuah platform untuk usaha mempromosikan produk tempatan kepada masyarakat luar dapat dijalankan.

“Ini sekaligus dapat menarik minat orang luat dan menggalakkan pertumbuhan ekonomi serta pembangunan sektor pelancongan domestik kita di Sabah, selain daripada menjadi wadah kepada kerajaan untuk mendekati rakyat.

“Selain itu, usaha ini turut menyumbang kepada peningkatan promosi program pembangunan kerajaan yang mana memberi gambaran bahawa kerajaan tidak pernah memandang remeh soal ekonomi rakyat,” katanya. katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir dalam Majlis Program Madani Rakyat (PMR) 2025, Sabah, di Dataran Majlis Perbandaran Tawau, di sini hari ini.

Hajiji turut menzahirkan hasrat beliau untuk melihat Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi  Malaysia (KUSKOP) meneruskan usaha seumpama itu, sekali gus membantu dalam memperkasa  pembangunan keusahawanan, khususnya di negeri ini. 

“Inisiatif keusahawanan yang direncana khusus di Sabah seperti Projek Premis Tamu Desa, usaha pendigitalan melalui TEKUN TikTok Shop, pembiayaan sehingga RM800 juta, serta pembukaan Hab Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) oleh SME Corporation Malaysia, nyata memberi impak positif kepada lebih 50 ribu usahawan mikro, kecil dan sederhana di Sabah. 

“Inisiatif ehsan@KUSKOP juga dilihat mampu membantu menoktahkan kemiskinan tegar melalui pendekatan intervensi bersasar yang melibatkan bimbingan, latihan, modal dan pemantauan menyeluruh.

“Pendekatan yang dibawa oleh KUSKOP ini telah memberi nilai tambah yang strategik kepada landskap keusahawanan tempatan, dan saya berharap program ehsan@KUSKOP ini dapat diperluaskan lagi ke lain-lain daerah dan kawasan luar bandar di Sabah,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hajiji turut meminta kepada KUSKOP untuk memperkemas dan memperbanyak perkhidmatan perbankan terutamanya bagi agensi-agensi di bawahnya.

“Harapan saya juga, semoga institusi seperti Bank Rakyat untuk membuka lebih banyak cawangan, atau sekurang-kurangnya meletakkan mesin ATM atau Automatic Teller Machine di kawasan luar bandar, sebagai kemudahan untuk rakyat, terutama golongan usahawan tempatan,” katanya. 

Tambahnya, di peringkat negeri beberapa program yang berkaitan dengan pembangunan keusahawanan turut disediakan kepada belia antaranya Skim Jaya Usahawan Belia (Syabas) di bawah Kementerian Belia dan Sukan Sabah. 

“Di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, terdapat juga beberapa program yang menjurus kepada pembangunan keusahawanan dalam kalangan belia, seperti Bengkel Skim Usahawan Siswazah (BUSS) dan Bengkel Skim Usahawan Teknikal (BEST) yang masing-masing menyasarkan belia lepasan universiti dan lepasan institusi vokasional atau kemahiran. 

“Kerajaan negeri melalui Yayasan Usaha Maju (YUM), sebuah agensi yang diwujudkan sejak 1995, terus membantu golongan peniaga dengan menawarkan pinjaman mikro kepada kumpulan sasar, termasuklah usahawan wanita, yang memerlukan modal untuk memajukan perniagaan mereka,” katanya. 

Selain itu, Hajiji juga memberitahu bahawa kemajuan sektor keusahawanan juga berkait rapat dengan prestasi ekonomi negeri dan negara. 

“Sejak berakhirnya Pandemik Covid-19 pada 2021, ekonomi Sabah yang sebelum itu  jatuh merudum, telah menunjukkan perkembangan yang positif dengan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mula meningkat daripada RM 82.1 bilion pada tahun 2022, kepada RM 83.2 bilion pada tahun 2023. 

“Dan diunjurkan KDNK Sabah untuk tahun 2024 ialah sebanyak RM 84.9 bilion yang mana jelas memperlihat keupayaan dan kesungguhan Kerajaan Negeri bukan sahaja dalam memulihkan semula ekonomi tetapi juga meletakkan prestasi ekonomi Sabah ditahap yang terbaik,” tambahnya lagi.

Hajiji juga menegaskan bahawa Kerajaan Negeri komited dalam usaha untuk merancakkan usaha membasmi kemiskinan tegar di seluruh negeri Sabah.

Hadir sama ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut menyempurnakan penutupan majlis tersebut.

 

  

 

 

Tinggalkan komen