TAWAU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) mempromosi perkhidmatan penghantaran ubat menggunakan dron.
Inisiatif itu bakal dilaksanakan oleh MCMC bersama Kementerian Kesihatan selaku rakan utama dan rakan-rakan strategik seperti MRANTI, serta penyedia teknologi dron tempatan.
“Usaha mempromosikan perkhidmatan pintar NADI ini adalah projek yang berimpak tinggi kepada komuniti, khasnya di kawasan pedalaman.
“Inisiatif ini merupakan projek perintis bagi membuktikan keberkesanan kaedah penghantaran ubat di kawasan luar bandar dan kawasan pedalaman dari Klinik Kesihatan ke NADI terpilih, bagi mempercepatkan akses ubat kepada komuniti di kawasan sukar dihubungi termasuk kawasan pulau, pedalaman dan lokasi yang tidak mempunyai keadaan jalan yang baik,” jelas kenyataan media yang dikeluarkan oleh MCMC pada Ahad.
Pelaksanaan fasa pertama penghantaran ubat-ubatan menggunakan dron dijangka akan dilaksanakan pada suku keempat 2025 di dua buah NADI termasuk NADI di Tawau.
“Hal ini seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri semasa kunjungan beliau ke reruai NADI dan projek rintis ini juga bakal diperluaskan ke 150 buah NADI pada 2026 dan disempurnakan kepada keseluruhan 392 buah NADI menjelang tahun 2027.
“Melalui kerjasama antara pelbagai agensi, projek ini turut menyokong agenda pengembangan inisiatif kerajaan sedia ada dengan penumpuan kepada akses perkhidmatan kesihatan masa hadapan yang lebih berkualiti dan saksama kepada komuniti luar bandar melalui teknologi, seiring dengan perkembangan dan ketersediaan teknologi 5G dan kecerdasan buatan (AI),” jelas kenyataan itu lagi.
Sehingga kini, terdapat 1,099 buah NADI di seluruh negara.
1Reruai NADI di PMR Tawau turut menampilkan pelbagai aktiviti Perkhidmatan Pintar NADI melalui lima teras utama iaitu Keusahawanan, Kesihatan, Pembelajaran sepanjang hayat, Kesedaran IT dan Perkhidmatan Kerajaan.
Program PMR di Tawau telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
