TAWAU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menghadiri Majlis Kesyukuran dan Doa Selamat sambil beramah mesra bersama rakyat di Dewan Terbuka, Taman Sri Balung, Tawau, di sini, malam tadi.
Majlis ini diadakan sebagai tanda kesyukuran atas kejayaan pelaksanaan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri selaras Hala Tuju Sabah Maju Jaya (Pelan Pembangunan SMJ 1.0: 2021-2025).
Beliau turut menyempurnakan Program Outreach Ketua Menteri bersama badan bukan kerajaan (NGO), penyerahan kunci Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) dan ramah mesra bersama penerima Program Sentuhan Kasih Rakyat atau SYUKUR bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), Balung semasa majlis tersebut berlangsung.
Seramai 234 daripada 665 penerima SYUKUR DUN Balung menghadiri program ini.
Antara pengisian utama program yang melibatkan 100 penerima dari DUN itu ialah Program Outreach Ketua Menteri bersama NGO dan usahawan muda, ilham Ketua Menteri sendiri yang digerakkan oleh Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR), menyasarkan 5,000 peniaga muda luar bandar
Selain itu, turut berlangsung ialah sesu penyerahan kunci Rumah Mesra SMJ kepada 10 penerima dari DUN Balung, sumbangan khas berbentuk tiga unit van jenazah kepada masjid tempatan, sumbangan Hub Pemulihan, Sri Stella sebanyak RM1 juta dan sumbangan Koridor Respiratori Pantai Timur, Hospital Tawau bernilai RM500 ribu.
Hajiji menyempurnakan penyampaian sumbangan kepada semua penerima dan memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan terus komited dalam terus merangka dan melaksanakan pelbagai program berimpak tinggi, mampan dan inklusif yang memberi manfaat langsung kepada rakyat.
