Haram vape secara menyeluruh, punca pasaran gelap makin rancak: Syarikat Vape

KOTA KINABALU: Tindakan pengharaman vape dan rokok elektronik, khususnya yang dibuat oleh beberapa Kerajaan Negeri, dilihat memberi kekeliruan kepada pemain industri dan pengguna kerana tindakan itu seolah-olah mengalihkan perhatian sebenar kepada kelemahan sistem sedia ada. 

Lebih-lebih lagi, ia juga mampu membuka ruang kepada peningkatan jualan vape serta rokok elektronik di pasaran gelap.

Ketua Pegawai Eksekutif Nanostix, Shahbudeen Jalil berkata, tindakan yang berlaku di peringkat Kerajaan Negeri ini perlu disemak semula dengan lebih menyeluruh agar tidak berlaku kekeliruan.

“Langkah beberapa Kerajaan Negeri itu telah mengundang kekeliruan bukan sahaja kepada pemain industri, tetapi juga kepada pengguna di negara ini kerana di satu pihak, Kerajaan Persekutuan telah menyeru kepada pengawalseliaan yang lebih baik, tetapi pada masa yang sama berlaku tindakan pengharaman penuh di peringkat Kerajaan Negeri.

“Perkara ini menimbulkan persoalan seolah-olah Kerajaan Negeri menidakkan kebijaksanaan perundangan dan peraturan yang telah dibuat di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, baru-baru ini.

Menurut Shahbudeen lagi, isu sebenar yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah soal penyalahgunaan vape oleh pihak tidak bertanggungjawab dengan memasukkan atau menyeludup masuk bahan terlarang seperti ‘Vape Magic Mushroom’ ke Malaysia.

Katanya, vape terlarang itu kini dijual secara terbuka di media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab, dan ia bukannya vape yang dijual oleh syarikat tempatan yang sah.

“Mengalih tumpuan kepada industri yang mematuhi undang-undang hanya akan mengalihkan perhatian daripada kelemahan sebenar, bukan sahaja dalam sistem penguatkuasaan di pintu masuk negara, tetapi juga di peringkat pihak berkuasa tempatan.

“Sesungguhnya industri vape adalah industri yang wujud bukan cuma untuk menjadi pengganti rokok semata-mata, bahkan industri ini juga telah memberi sumbangan kepada ekonomi negara dan menyediakan ribuan peluang pekerjaan.

“Untuk itu, tindakan mengharamkan penjualan vape hanya akan membuka ruang kepada pasaran gelap/penyeludupan untuk berkembang tanpa kawalan, yang akan menjadi satu risiko yang jauh lebih besar kepada masyarakat,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Shahbudeen juga menyeru agar pihak berkuasa yang berkaitan berusaha keras dalam mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, termasuk memantau aktiviti penyeludupan dadah berbahaya dengan lebih ketat.

Penting untuk kawalan bahan mentah diutamakan kepada produk tempatan bagi memastikan kualiti dan keselamatan pengguna menjadi asas bagi pengeluar vape atau rokok elektronik, dan saya merasakan juga perlu ada libat urus yang telus dengan industri sebelum sesuatu keputusan diambil, kerana ini sememangnya mampu memberi impak kepada ekosistem ekonomi tempatan.

“Pastinya, usaha lain yang perlu juga adalah memberikan kesedaran serta kefahaman kepada pengguna mengenai vape yang ada kelulusan Kastam dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), supaya pengguna dapat membezakan dan tidak membeli vape yang dibawa masuk secara haram,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, fokus sebenar yang perlu diberikan adalah bagaimana untuk melawan masalah sebenar, iaitu masalah penyeludupan dan penyalahgunaan dadah.

“Ini masalah sebenar yang menjadi duri dalam daging, penyeludupan dan salah guna dadah, bukannya menghukum industri tempatan yang patuh pada undang-undang.

“Kita percaya bahawa masa depan industri ini bergantung kepada keseimbangan antara kawal selia yang efektif dan sokongan kepada pemain industri tempatan, dan kita akan kekal komited untuk bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan demi memastikan industri vape Malaysia berkembang secara sihat, selamat dan bertanggungjawab.

“Cadangan lain yang boleh dibuat oleh pihak berwajib ialah menilai semua langkah untuk mengharamkan atau menyekat sepenuhnya pengimportan cecair vape dari luar negara sebagai langkah kawalan yang lebih tegas terhadap industri ini, kerana ia penting bagi memastikan hanya produk yang memenuhi piawaian keselamatan dan kualiti ditawarkan kepada pengguna tempatan, sekali gus mengurangkan risiko kemasukan cecair yang mengandungi bahan terlarang atau berbahaya,” ujarnya.

Nanostix Innovations Sdn. Bhd. merupakan sebuah syarikat pengeluar vape utama di Malaysia yang sudah beroperasi sejak 2018 dan telah mematuhi segala peruntukan perundangan sedia ada.

Tinggalkan komen