Pemuda rentung dalam stor, lapan kediaman musnah dijilat api

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 39 tahun ditemui rentung dalam sebuah stor kediaman selepas lapan buah rumah musnah dijilat api di Kampung Kalansanan, malam tadi.

Pegawai Operasi, PBK I Saflan Sapri berkata mayat itu ditemui berdekatan stor rumah pertama dan seorang lagi mangsa cedera akibat terjatuh semasa terjun dari rumah untuk menyelamatkan diri. 

“Mangsa yang rentung dikenalpasti sebagai Steve Jose Mardona dan mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya. 

“Mangsa yang cedera pula dikenalpasti sebagai Mondong Majaham berusia 78 tahun.

Menurut Saflan, pihaknya menerima panggilan kecemasan di talian balai pada pukul 4.58 petang dan jentera tiba di lokasi pada pukul 5.05 petang bagi kerja-kerja memadamkan kebakaran.

“Seramai 25 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dikejarkan ke lokasi dengan bantuan 13 orang anggota BBP Kota Kinabalu dan dua orang anggota BBP Penampang,” katanya. 

Tambahnya, daripada kesemua lapan buah rumah yang terbakar, tujuh daripadanya musnah dijilat api sepenuhnya manakala sebuah lagi dilaporkan terbakar 50 peratus.

“Operasi memadamkan kebakaran terkawal pada pukul 6.08 petang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 1 pagi,” katanya. 

Tinggalkan komen