Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Syarikat Kim Teck Cheong consolidated Berhad (KTC) melupuskan produk roti dengan anggaran nilai sebanyak RM300 ribu selepas berlaku gangguan bekalan gas oleh Sabah Energy Corporation di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) malam tadi.
Pengurus Besar Gardenia Bakeries (East Malaysia), Normala Othman berkata arahan itu dikeluarkan oleh Pengarag Eksekutif, Datuk Dexter Lau bagi memastikan tiada sebarang risiko berkaitan produk mereka yang sampai kepada pengguna kelak.
“KTC dimaklumkan yang produk roti kami mungkin masih selamat untuk dimakan tetapi kita memilih untuk tidak mengambil risiko dan membuat pelupusan menyeluruh.
“Keselamatan pengguna adalah keutamaan kami dan keputusan ini dibuat demi mengekalkan komitmen kami terhadap kepuasan serta kualiti keselamatan produk roti kami,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, petang tadi.
Menurut beliau lagi, pelupusan produk itu termasuk semua bahan mentah yang terjejas dan segala proses pengeluaran akan dimulakan daripada awal untuk memastikan produk mencapai standard piawaian yang ditetapkan.
“Kita sedar keputusan ini memberi impak kepada operasi perniagaan kami tetapi ini adalah langkah terbaik dan kami memohon kepada pengguna setia kami untuk memahami situasi yang dialami ketika ini.
“Pihak kami akan menyambung semula operasi kami dalam tempoh masa dua hari selepas kita berhasil menyelesaikan semua masalah dan isu yang timbul ini,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Normala turut memberitahu bahawa KTC sentiasa peka dan mementingkan aspek keselamatan serta setiap produk yang dikeluarkan perlu selamat untuk pengguna.
“KTC pentingkan keselamatn dan kita sentiasa mahu apa saja produk dengan jenama kita, selamat dan berkualiti tinggi kerana keyakinan pengguna adalah kepuasan kami,” ujar beliau lagi.
