Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Semua masyarakat dalam komuniti diseru untuk sentiasa menghargai jasa dan kasih ibu, bukan sekadar pada masa sambutan hari ibu, tetapi setiap hari.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata segala pengorbanan ibu perlu dikenang kerana ibu adalah tunggak kepada kekuatan dalam membina keluarga dan masyarakat yang lebih kuat.
“Saya percaya ramai ibu yang hadir di sini melalui rutin yang sangat mencabar , bangun awal pagi, bekerja tanpa henti, dan tidur lewat malam, semata-mata untuk memastikan keperluan keluarga sentiasa dipenuhi.
“Semoga semua ibu diberi kekuatan, kesihatan dan kebahagiaan di atas semua pengorbanan dan kasih sayang yang tidak ternilai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap semasa hadir Majlis Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.
Menurut Nancy, kerajaan sentiasa berusaha untuk memperkasa wanita dan ibu di Malaysia bagi tujuan memberi tumpuan kepada pemerkasaan wanita merentas semua lapisan masyarakat.
“Tahun ini, kita telah memperkenalkan Dasar Wanita Negara 2025- 2030 dengan tema ‘Memartabat Wanita, Mengukuh Negara’.
“Selain itu, kerajaan juga mengadakan program utama yang sedang giat dilaksanakan termasuk Program Kasih Ibu Tunggal (PROKIT), Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (IKIT), Mamacare dan Program Wanita Bangkit, serta 2 Years Exit Programme, Gig@bit dan Volvo iron Women,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Nancy juga memberitahu bahawa kesemua program itu adalah bertujuan untuk memberi ruang kepada wanita, khasnya golongan ibu tunggal dan tidak bekerja untuk mendapatkan latihan dan peluang pekerjaan yang sesuai.
“Dalam aspek kesihatan dan kesejahteraan pula, KPWKM melalui LPPKN turut menyediakan pelbagai program seperti pendidikan keibubapaan, khidmat kaunseling dan terapi minda serta saringan kesihatan wanita seperti HPV DNA dan subsidi mamogram,” katanya lagi.
Tambah Nancy, masih ramai ibu yang menghadapi cabaran yang tidak kelihatan dengan mata kasar, terutamanya golongan ibu muda yang berumur 34 tahun.
“Satu pertiga wanita di Malaysia adalah dalam golongan ini dan golongan ibu muda inilah yang berpotensi besar dan memerlukan sokongan menyeluruh daripada semua pihak.
“Hasil tinjauan sempena Hari Ibu tahun lalu, kita dapati bahawa sembilan daripada sepuluh ibu mengakui bahawa menjadi ibu hari ini jauh lebih mencabar kerana kos sara hidup yang tinggi, tekanan kerja dan keluarga, kekangan kewangan, kekurangan masa untuk diri sendiri dan beban tanggungjawab pendidikan anak-anak,” tambahnya lagi.
Nancy berkata, Kajian Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) 2022 menunjukkan bahawa keluarga masa kini semakin celik digital dan menuntut para ibu agar lebih berhati-hati dalam membimbing anak-anak tentang penggunaan teknologi.
Sambutan Hari Ibu Peringkat Kebangsaan 2025 diraikan dengan tema ‘Sentuhan KASIH Ibu’ bagi mengangkat peranan ibu sebagai asa keluarga penyayang.
“Bukan hanya melalui belaian, tetapi juga pengorbanan dan kekuatan emosi yang membentuk akhlak anak-anak.
“Kita raikan ibu-ibu bukan sekadar dengan ucapan terima kasih, tetapi juga dengan pelbagai program serta aktiviti hari ini, semuanya dengan tujuan untuk menghargai ibu, mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan mendidik masyarakat,” katanya.
Dalam majlis itu, turut disampaikan Anugerah Inspirasi Ibu kepada penerima Kasmirah Jaafar yang merupakan ibu tunggal yang mempunyai lima anak, dan Anugerah Ikon ibu Muda, Dayang Nabellah Awang Astillah, ibu tunggal yang mempunyai dua anak.
Hadir sama meraikan majlis itu ialah isteri Tuan Yang Terutama Sabah, Toh Puan Datin Seri Datuk Faridah Tussin dan isteri Ketua Menteri Sabah, Datin Seri Datuk Juliah Salag.
