KOTA KINABALU: Sebanyak RM5.3 bilion royalti hasil tuaian balak di bawah Perjanjian Lesen Pengurusan Hutan Mampan (SFMLA) dijana sejak tahun 1999 hingga 2023.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, angka tersebut mewakili purata hasil tahunan sebanyak RM213 juta kepada negeri serta peluang pekerjaan yang telah diwujudkankan untuk rakyat Sabah.
“Inisiatif SFMLA ini sudah mewujudkan kira-kira 40,000 peluang pekerjaan untuk rakyat Sabah.
“Benar masih ramai pihak di luar sana yang memberi spekulasi atau persepsi yang pelbagai tehadap SFMLA namun kita jangan terpengaruh dengan pandangan dan percakapan negatif yang tidak menyumbang kepada kemajuan negeri Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Sr Safar Untong ketika hadir dalam majlis Penghargaan Perhutanan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) malam tadi.
Menurut Hajiji, kerjasama pintar dengan sektor swasta selepas memperkenalkan SFMLA sebagai sebuah usaha berterusan pada tahun 1997 turut menjadi perintis kepada usaha pengurusan hutan lestari (SFM).
“Konsep pengurusan hutan lestari telah banyak membantu Kerajaan Negeri dalam mengurus kawasan hutan simpan Sabah yang luas dan ini bukan sahaja menyumbang kepada ekonomi negeri melalui sektor pembalakan dan industri kayu, tetapi juga memainkan peranan penting dalam aspek pemantauan serta penambahbaikan taraf hidup komuniti tempatan yang tinggal berhampiran kawasan berlesen.
“Setakat ini, kira-kira 1.4 juta hektar Hutan Simpan Kelas II di Sabah telah dilesenkan kepada 43 pemegang konsesi SFMLA,” katanya.
Hajiji memberitahu bahawa Kerajaan Negeri komited dalam usaha menjalankan semakan kemajuan tahunan ke atas setiap kemajuan SFMLA.
“Melalui Jabatan Perhutanan, kita sentiasa menyemak kemajuan dan sejak diperkenalkan, sembilan lesen sudah dibatalkan kerana gagal mematuhi syarat-syarat perjanjian, inilah bukti kesungguhan Kerajaan Negeri dalam melaksanakan konsep SFMLA.
“Kepada majoriti pemegang konsesi SFMLA yang menunjukkan komitmen mereka dalam menguruskan hutan secara lestari di bawah kawasan konsesi masing-masing, syabas dan malam ini, seramai 32 pemegang konsesi menerima Sijil Pematuhan di atas pencapaian mereka dalam Pelan Kerja Tahunan 2024,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Hajiji turut menyeru semua pemegang konsesi SFMLA yang terlibat dalam pengurusan ladang hutan untuk mempergiat usaha bagi mencapai sasaran penanaman di kawasan masing masing.
“Ini adalah untuk memastikan sasaran kita di bawah Pelan Tindakan Pembangunan Ladang Hutan 2022-2036, iaitu kira-kira 18,000 hektar ladang hutan setahun dapat dicapai dengan jayanya,” katanya.
Tambah Hajiji lagi, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam memberi penghargaan kepada Sabah pada Mac lalu di atas pencapaian Sabah sebagai negeri ketiga tertinggi dengan kawasan perlindungan baharu diwartakan di Malaysia selepas Johor dan Sarawak bagi tempoh 2021 hingga 2023.
“Sabah menerima RM26.45 juta di bawah Fasa Pertama Dana Pemindahan Fiskal Ekologi (EFT) daripada Kerajaan Persekutuan dan dana ini akan menambah nilai kepada usaha Sabah untuk meningkatkan Kawasan Perlindungan Sepenuhnya (TPA) kepada 30 peratus.
“Sabah juga sudah mewartakan 2.012 juta hektar TPA, bersamaan 27.15 peratus daripada keseluruhan keluasan negeri yang mana ini selaras dengan Dasar Perhutanan Sabah 2018 dan Pelan Sabah Maju Jaya,” jelasnya lagi.
Hajiji berkata Sabah kini memerlukan kira-kira 211,000 hektar lagi untuk mencapai sasaran 30 peratus TPA tahun ini.
“Suka untuk saya kongsikan juga, sekarang, Jabatan Perhutanan sedang menyediakan kertas cadangan untuk mewartakan beberapa lagi kawasan perlindungan kritikal di bawah Seksyen 5A Enakmen Hutan 1968 bagi memastikan sasaran TPA dapat dicapai tahun ini.
“Saya menyokong sepenuhnya usaha ini dan berharap ianya akan dapat direalisasikan dalam masa yang terdekat ini,” katanya.
Selain itu, Hajiji menjelaskan bahawa pindaan terhadap Enakmen Hutan 1968 yang diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada April tahun ini adalah tepat pada masanya kerana ia memberikan kuasa penuh kepada Kerajaan Negeri untuk mengawal aktiviti perdagangan kredit karbon berasaskan hutan.
“Dengan pindaan ini, aktiviti karbon hutan akan dikawal selaras dengan terma dan syarat yang menjaga kepentingan negeri, dan sebarang wang atau hasil daripada aktiviti kredit karbon hutan akan terus disalurkan kepada negeri.
‘Pindaan ini juga memberikan kuasa kepada Ketua Konservator Hutan untuk menutup sebahagian daripada hutan simpan sensitif; mengeluarkan permit dan mengenakan bayaran bagi aktiviti tertentu di dalam hutan simpan, serta meminda penalti bagi kesalahan hutan.
“Ini juga selaras dengan peruntukan di bawah Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, akan mengukuhkan lagi penguatkuasaan hutan dalam membanteras pengambilan sumber hutan secara haram dan meningkatkan usaha pemuliharaan hutan,” ujar beliau lagi.
Sejak 2010, sebanyak 34 tangkapan dibuat kepada penceroboh hutan simpan tidak dapat didakwa di mahkamah kerana hutan simpan tersebut tidak ditutup untuk akses awam.
