Mahu terus majukan ekonomi dua hala, tingkat potensi usahawan tempatan: MCCC

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Dewan Perniagaan Malaysia China (MCCC) cawangan Sabah komited dalam usaha untuk menyumbang kepada kemajuan ekonomi dua hala untuk Sabah terus maju, sekaligus meningkatkan potensi usahawan tempatan.

Presidennya, Datuk Dexter Lau berkata, MCCC sentiasa akan memainkan peranan penting dalam misi untuk mengukuhkan hubungan ekonomi dan perdagangan antara Malaysia dengan China melalui penglibatan aktif ahli MCCC dalam sektor ekonomi.

“Kita ingin mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan untuk usahawan tempatan, usahawan kita yang sememangnya ada potensi dan boleh berkembang lebih, sekaligus membawa manfaat kepada negeri Sabah sendiri.

“Saya yakin, dengan pengetahuan tentang keperluan pasaran, strategi perniagaan dan cara untuk berhubung dengan pelabur luar, saya mampu menyumbang kepada peningkatan prestasi MCCC Sabah,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MCCC di sini, petang tadi.

Dexter merupakan Pengarah Eksekutif Kim Teck Cheong (KTC) dan sudah berkecimpung dalam bidang keusahawanan sejak muda.

“Saya ingin kongsikan pengalaman dan ingin memimpin MCCC Sabah agar kita dapat buat yang lebih baik dan berikan hasil kemajuan kepada orang kita.

“Saya ingin semua ahli MCCC lebih bersikap aktif dan maju untuk tampil dengan semangat daya saing yang tinggi kerana saya ingin MCCC diangkat sebagai sebuah platform untuk semua yang bernaung di bawahnya, mampu mencipta kejayaan, bersama-sama, saling mendukung antara satu sama lain,” katanya lagi.

Terdahulu, Dexter menjawat jawatan sebagai Timbalan Pengerusi MCCC Cawangan Sabah serta merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Kebangsaan MCCC Malaysia.

“Semoga MCCC akan terus maju dan semoga saya mampu menyumbang semua pengetahuan yang mendalam tentang keperluan pasaran, strategi perniagaan dan cara untuk berhubung dengan pelabur luar, dengan semua dalam MCCC.

“Saya harap ini dapat membantu usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk terus mewujudkan Sabah sebagai sebuah negeri maju, makmur dan berkembang seiring perkembangan semasa.

“Kita sedar bahawa untuk ekonomi negeri ini maju, penting untuk kita mempunyai keupayaan menarik perhatian pelabur asing dari luar yang datang ke Sabah, membawa pelaburan mereka untuk pembangunan ekonomi kita,” jelasnya lagi.

Dexter turut menjelaskan bahawa beliau mempunyai visi dan misi seiring dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, yang ingin memperluas penglibatan pelaburan asing dalam pelbagai industri di negeri Sabah.

Selain itu, Dexter turut memberitahu bahawa beliau akan terus berusaha untuk mengenal pasti peluang dan cabaran serta mewujudkan hubungan yang strategik dapat memberi keyakinan kepada pelabur asing untuk melabur dan berkembang bersama industri tempatan.

Dalam mesyuarat itu, turut berlangsung sesi perlantikan ahli jawatan kuasa MCCC yang baru. 

Dewan Perniagaan Malaysia-China (MCCC) Cawangan Sabah dibarisi oleh kepimpinan seperti berikut: 

Presiden : Datuk Lau Wei Dick @ Dexter Dick Lau 

Timbalan Presiden : Kapitan Dr. Tan Kai Lee 

Naib Presiden : Chin Thau Chung @ Jacky Chin 

Naib Presiden : Su Khon Fen 

Naib Presiden : Lau Jiin Woei

Setiausaha : Ivan Chai Bor Yuan 

Bendahari : Shawn Tan Cen Ven 

Timbalan Bendahari : Tommy Lo Chun Sian 

Urusan Perdagangan : Brian Ho Joon Chuan 

Penolong Hal Ehwal Perdagangan : Wong Kwong Fah 

Perhubungan Awam : Goh Chuen Sheng 

Penolong Perhubungan Awam : Yong Wei Hau 

Jawatankuasa : Hon Fook Peng 

Jawatankuasa : Civic Chin Vui Khen

Jawatankuasa : Neilson Chang Wai Chuen

Tinggalkan komen