LPBS, potensi baru tingkat tahap sara diri makanan

KOTA BELUD: Lembaga Padi dan Beras Sabah (LPBS) dijangka mampu menyumbang kepada potensi peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) makanan sehingga 30 peratus menjelang tahun hadapan dan 60 peratus menjelang tahun 2023.

“Inisiatif ini dilancarkan secara rasminya untuk kita capai sasaran Kerajaan Negeri untuk meningkatkan SSL makanan dan ini akan dilaksanakan melalui LPBS yang diberi nafas baru untuk memenuhi permintaan makanan rakyat, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada import beras.

“Buat masa ini, kita hanya dapat mengeluarkan kira-kira 22.8 peratus beras tempatan dan menjadi faktor kepada kebergantungan tinggi terhadap bekalan beras import,” kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dalam teks ucapan beliau semasa Majlis Pelancaran LPBS dan Skim Takaful Penanaman Padi (STTP) Agrobank di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr.Jeffrey Kitingan. 

Menurut Hajiji, LPBS akan mengambil alih semua pembangunan dan pengurusan tanaman padi daripada Jabatan Pertanian Negeri bermula tahun ini. 

“Selain itu, LPBS juga diberi tanggungjawab sebagai badan pengawal selia pembangunan dan pengurusan padi, dan untuk itu, saya ingin mengajak semua agensi negeri yang  berkaitan memberikan kerjasama penuh kepada LPBS,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji turut memberitahu bahawa Kerajaan Negeri akan memberi tumpuan  kepada pembangunan dan pengurusan tanaman padi di enam daerah, iaitu Kota Marudu, Tuaran, Tambunan, Keningau, Papar dan Kota Belud. 

“Jumlah keseluruhan kawasan sawah padi di daerah-daerah ini ialah 22,218.35 hektar atau 55,879 ekar, dengan melibatkan 16,018 penanam padi. 

“Selain menghidupkan semula LPBS, Kerajaan Negeri juga melaksanakan beberapa inisiatif lain, termasuk memberi penekanan kepada penanaman padi bukit. 

“Oleh itu, saya menyeru semua pemilik tanah bukit untuk membangunkan tanah mereka  dengan penanaman padi bukit berkualiti tinggi,” katanya. 

Dianggarkan sebanyak 13,266 hektar  atau 32,767 ekar tanah bukit sesuai untuk penanaman padi, melibatkan 15,617 petani.

“Kita lihat untuk kawasan ini saja, ia berpotensi untuk menghasilkan 30,424 tan metrik padi bukit setahun. 

“Seperti Sarawak yang terkenal dengan beras Bario, Sabah juga mempunyai varian padi bukit tersendiri iaitu beras Adan dari Long Pasia, Sipitang, selain dari Ranau, Kudat dan Pitas yang semakin terkenal dalam pasaran tempatan,” katanya.

Hajiji menyeru syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk turut sama menyokong usaha itu dan membangunkan tanah terbiar mereka bagi tujuan penanaman padi. 

“Saya memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri tetap komited untuk membangunkan tanah-tanah sawah padi terbiar dan meningkatkan pengeluaran padi dan beras tempatan.

“Saya juga berharap agar semua petani mengambil manfaat daripada Skim Takaful Penanaman Padi, iaitu satu skim perlindungan insurans untuk melindungi penanam padi di negara ini, yang mana melalui skim ini, penanam padi yang merupakan warganegara Malaysia berumur 18 tahun ke atas, bertani di kawasan yang ditetapkan serta berdaftar di bawah Skim Baja Kerajaan Persekutuan dan mempunyai akaun Agrobank, akan dilindungi bagi kerosakan tanaman mereka akibat bencana alam, serangan perosak dan penyakit,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen