Yayasan PETRONAS kongsi kemeriahan Kaamatan 2025 bersama warga Tambunan

TAMBUNAN: Yayasan PETRONAS berkongsi kemeriahan sambutan Hari Kaamatan dengan menganjurkan program Uplifting Lives Festive pada 1 Mei lalu.

Program itu adalah bersempena sambutan bulan Kaamatan peringkat negeri di Dewan  Pisompuruan.

Pengurus Besar PETRONAS bagi Pejabat Wilayah Sabah dan Labuan, Siti Ayu Abdul Wahab, berkata program itu adalah sebahagian daripada usaha PETRONAS dalam menyokong perpaduan serta semangat kebersamaan dalam meraikan musim perayaan di Malaysia.

“Ini termasuk semua sambutan perayaan seperti Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, Pesta Kaamatan, Hari Gawai, Hari Deepavali dan Krismas,” katanya. 

Yayasan PETRONAS turut mengedarkan sumbangan bakul makanan kepada 500 penerima termasuk 200 di Tambunan.

Penerima terpilih adalah mereka yang disenaraikan oleh pihak Jabatan Kebajikan Perkhidmatan Am Sabah (JPKA).

“Sumbangan ini adalah untuk meringankan beban dan berkongsi sinar musim perayaan bersama keluarga yang kurang berkemampuan.

“Sesungguhnya kita dari pihak Yayasan PETRONAS amat berbesar hati dan ingin terus berkongsi dan menyumbang bersama lebih ramai lagi pada masa akan datang,” katanya. 

Dalam pada itu, hadir sama memeriahkan dan menyampaikan simbolik sumbangan kepada lima penerima semasa program itu ialah Pengerusi Jawatan Kuasa Induk Kaamatan merangkap Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, 

Semua penerima akan menerima sumbangan bakul makanan tersebut melalui JPKA, termasuk di kawasan Kepayan, Tongod dan Manggatal sepanjang bulan ini. 

Tinggalkan komen