Sedia bersaing solo dan kerjasama parti tempatan lain: GRS

KOTA KINABALU: Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor memberitahu bahawa GRS bersedia untuk bertanding secara solo dan memfokuskan kepada usaha jalinan kerjasama dengan parti tempatan lain yang sehaluan.

“Jika keputusan muktamad Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) adalah untuk bekerjasama dalam Pilihan Raya Negeri (PrN) akan datang, maka GRS bersedia dengan cara kita.

“Kita tidak mahu menyimpang daripada prinsip asal perjuangan dengan mengabaikan aspirasi sebahagian besar rakyat Sabah,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, petang ini.

Menurut Hajiji, perjuangan GRS adalah untuk kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat demi masa depan Sabah.

“Seperti yang sering saya tekankan, Kerajaan Negeri hari ini perlu terus diperkukuhkan kerana ia membawa kestabilan dan mewakili satu bentuk kerjasama yang menyumbang kepada kekuatan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan. 

“Kita tidak boleh ketepikan aspirasi tempatan dalam konteks politik Sabah kerana ini adalah tidak selari dengan sentimen rakyat di peringkat akar umbi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hajiji juga menjelaskan bahawa GRS sentiasa berpegang kepada prinsip bahawa parti-parti tempatan harus menjadi tonggak kepada Kerajaan Negeri.

“Kita berpegang kepada prinsip bahawa Kerajaan Negeri Sabah seharusnya dipimpin oleh parti tempatan yang memahami realiti, budaya dan keperluan rakyat, tanpa mengetepikan peranan dan kepentingan parti-parti nasional dalam kerangka kerjasama yang lebih luas,” jelasnya lagi.

Selain itu, Hajiji berkata GRS akan mengadakan sebuah mesyuarat kepimpinan dalam masa terdekat untuk menetapkan hala tuju gabungan itu dalam menghadapi PRN akan datang.

“GRS juga akan mengadakan perbincangan rasmi dengan parti-parti yang membentuk Kerajaan Negeri semasa untuk mendapatkan pandangan dan pendirian mereka,” ujarnya.

Tinggalkan komen