PMR 2025 jangkau perkhidmatan awam ke Timur Sabah

TAWAU: Program Madani Rakyat (PMR) 2025, di Dataran Majlis Perbandaran Tawau yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga Ahad dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan kesejahteraan rakyat melalui penyampaian perkhidmatan awam secara langsung kepada masyarakat khususnya di Pantai Timur Sabah.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick berkata, program itu dilihat mampu memberikan manfaat besar kepada rakyat di negeri ini, khususnya di daerah Tawau dan kawasan sekitarnya.

“Saya amat berpuas hati dengan persiapan yang telah dijalankan dan saya yakin dengan persiapan rapi oleh semua kementerian serta agensi terlibat, program ini akan berjalan lancar, sekaligus berjaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada para pengunjung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan persediaan akhir PMR 2025, di tapak program malam tadi.

Turut serta dalam tinjauan itu ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, timbalan-timbalan ketua setiausaha, pegawai tertinggi kementerian serta wakil Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi Pejabat Perdana Menteri (PACU).

Menurut Ewon, PMR 2025 itu menghimpunkan 36 reruai kementerian, agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan serta menyediakan sebanyak 204 perkhidmatan touchpoint rakyat.

Katanya, jualan MADANI turut diadakan menyediakan lebih 200 jenis barangan jualan dengan tawaran potongan harga sehingga 30 peratus.

“Selain jualan dan pameran, program ini turut menyediakan khidmat nasihat pelbagai jabatan dan agensi kerajaan yang memberi peluang kepada rakyat untuk berurusan secara langsung tanpa perlu ke pejabat.

“Untuk itu, kita amat mengalu-alukan semua penduduk Tawau, kawasan berhampiran serta rakyat Sabah amnya untuk hadir ke program ini dan mengambil peluang daripada pelbagai perkhidmatan dan pameran yang disediakan,” katanya lagi. 

PMR 2025 dijangka akan dihadiri lebih 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari pelaksanaan, dengan sasaran nilai jualan mencecah RM1 juta dan padanan niaga sebanyak RM1.5 juta.

“PMR 2025 merupakan sebahagian daripada inisiatif Madani yang bertujuan merapatkan hubungan antara kerajaan dan rakyat, serta memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan dapat diakses secara inklusif oleh semua lapisan masyarakat.

“Program MADANI Rakyat PMR 2025 Sabah, sebuah inisiatif berteraskan rakyat anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) selaku Kementerian Peneraju dari 9 hingga 11 Mei 2025,” tambah Ewon lagi.

Tinggalkan komen