KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri menyatakan komitmen untuk terus memperluas manfaat pembangunan kepada seluruh rakyat Sabah melalui pemerkasaan kualiti penyampaian perkhidmatan awam.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata penjawat awam merupakan tulang belakang kepada kejayaan pembangunan negeri dan pelaksanaan dasar kerajaan, serta memainkan peranan besar dalam usaha tersebut.
“Ini perlu disulam dengan nilai integriti, kecekapan, dan semangat tanggungjawab tinggi kerana rakyat sedang memerhati segala tingkah laku, tutur kata dan layanan kita kepada rakyat mencerminkan sistem penyampaian kerajaan hari ini.
“Justeru, penjawat awam harus menjiwai prinsip-prinsip MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya Cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan, bukan sekadar sebagai slogan, tetapi dalam akhlak dan budaya kerja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Program Jelajah Taat Setia MADANI Negeri Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Menurut Hajiji, kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dengan Persekutuan membuahkan pelbagai inisiatif untuk kesejahteraan rakyat Sabah, termasuk Program Madani Rakyat 2024: Sayangi Sabah yang menarik hampir 485,000 pengunjung.
“Pembentukan 219 Komuniti Madani Sabah dengan peruntukan RM657,000, Inisiatif Ehsan@KUSKOP di tiga daerah sasaran iaitu Kota Belud, Kota Marudu dan Kudat, selain daripada pelbagai wacana dan forum pendidikan untuk memperluas pemahaman Malaysia MADANI.
“Di peringkat negeri, saya ingin tegaskan bahawa kerajaan terus menyalurkan pelbagai bentuk bantuan, khususnya kepada golongan B40 dan pelajar, antaranya ialah Bantuan Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Komputer (BAIK), dan subsidi penerbangan (GRS SUBFLY) sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang belajar di Semenanjung dan Sarawak.
“Selain itu, sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) sebanyak RM300, pembinaan 3,000 unit Rumah Mesra SMJ bernilai RM250 juta dan Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR) yang melibatkan bantuan tunai RM300 sebulan bermula awal tahun sehingga akhir tahun kepada 100,000 ketua isi rumah (KIR) miskin dan miskin tegar di Sabah,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji juga memberitahu bahawa dana Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah turut ditingkatkan secara signifikan daripada RM55 juta pada 2022 kepada RM128 juta pada tahun 2025.
“Inilah bukti kita sokong usaha anak-anak Sabah untuk melanjutkan pengajian bukan sahaja soal pendidikan, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang untuk melahirkan pemimpin masa depan dan tenaga kerja berdaya saing,” katanya.
Selain itu, Hajiji turut menyeru kepada 21,989 penjawat awam negeri dan 126,677 penjawat awam Persekutuan di Sabah agar menjadi pemudah cara kepada rakyat dalam menyampaikan maklumat dasar dan pelaksanaan inisiatif kerajaan.
“Sampaikan mesej kerajaan hingga ke akar umbi, biar rakyat tahu bahawa kerajaan tidak hanya merancang tetapi melaksana banyak inisiatif pembangunan demi kesejahteraan negeri dan rakyat.
“Perkhidmatan yang diberikan mesti pantas, cekap, dan berintegriti,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, seluruh rakyat Sabah perlu mengetepikan perbezaan politik dan terus mengukuhkan perpaduan demi kemajuan negeri.
“Kestabilan politik adalah asas kepada kemakmuran dan untuk itu marilah kita bersama melangkah ke hadapan dalam semangat solidariti, mengutamakan perpaduan dan pembaharuan komitmen untuk masa depan Sabah yang lebih gemilang,” ujar beliau.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, turut yang menyampaikan amanat kepada warga perkhidmatan awam Sabah sebagai sebahagian daripada program nasional Jelajah Taat Setia MADANI.
