LAHAD DATU: Sebuah Vesel Nelayan Tempatan (VNT) ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Zon Maritim Lahad Datu ketika rondaan rutin oleh anggota sedang dijalankan di perairan Lahad Datu, semalam.
Penahanan dibuat ketika bot ronda Maritim Malaysia melakukan rondaan di bawah Ops Pluto Timur 2/2013 dan Ops Tiris 3.0 di sekitar perairan Kampung Bakapit, Lahad Datu.
“Hasil pemeriksaan lanjut, kita mendapati bot lampu berwarna putih hijau itu gagal mematuhi peraturan yang mewajibkan semua pertukaran nakhoda dilaporkan secara rasmi,” kata Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali.
Menurut beliau lagi. Maritim Malaysia memandang serius terhadap ketidakpatuhan yang berlaki kerana ia berkait rapat dengan keselamatan navigasi dan kawalan terhadap aktiviti perikanan tempatan.
“Mana-mana pertukaran nakhoda wajib dimaklumkan untuk memastikan lesen dankelayakan individu yang mengemudi bot adalah sah dan diiktiraf,” jelasnya.
Bot itu diiringi ke Jeti Perikanan Lahad Datu dan diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Maritim Malaysia Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut.
“Nilai tangkapan dianggarkan bernilai RM300 ribu dan kes ini disiasat di bawah Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002 (Kesalahan Bot Kecil Sabah 2008) berkaitan kesalahan gagal memaklumkan pertukaran nakhoda,” tambah beliau lagi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah atau insiden di laut diminta untuk menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi WhatsApp di talian 0169305727 atau boleh terus menghubungi talian kecemasan 999.
