LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Lahad Datu menahan sebuah bot nelayan tanpa dokumen sah di perairan Felda Sahabat, Tungku ketika sedang menjalankan aktiviti perikanan, malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata, tangkapan dilakukan sekitar pukul 10.30 pagi oleh Pasukan bot ronda Maritim Malaysia ketika sedang menjalankan rondaan rutin di bawah Ops Pluto Timur 2/2013 dan Ops Tiris 3.0.
“Bot berwarna putih biru tanpa nombor pendaftaran sah itu dikesan berada di posisi 4.1 batu nautika selatan Tanjung Tungku.
“Hasil pemeriksaan anggota kita, didapati ada seorang lelaki warga asing berusia 28 tahun, berada di atas bot dan gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri atau permit sah untuk menjalankan aktiviti perikanan di perairan negara ini,” katanya.
Menurut Dzulfikhar, kes itu disiasat di bawah Akta Imigresen 1959 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah, dan akan diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia bagi tindakan lanjut.
“Nilai tangkapan kita anggarkan dalam RM300 ribu.
“Kita ingin memberitahu bahawa Pihak Maritim Malaysia akan terus membanteras pencerobohan perairan negara oleh nelayan asing serta aktiviti perikanan haram yang menjejaskan sumber hasil laut tempatan,” jelasnya lagi.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan ke Pusat Operasi Zon Maritim Lahad Datu melalui aplikasi WhatsApp di talian 0169305727 atau boleh terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk maklum balas segera.
