KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menjelaskan bahawa hubungan ‘keluarga’ Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kini sedang dalam keadaan baik dan terkawal.
“Semua presiden parti yang bernaung dalam GRS berikrar untuk mengekalkan kemenangan GRS dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Saya terima dan amat menghargai semua pandangan serta pendapat yang diutarakan kerana mereka semua adalah pemimpin politik yang matang.
“Mereka faham bahawa misi GRS ada untuk kepentingan bersama, berdiri sebagai satu barisan untuk menghadapi PRN,” katanya.
Hajiji berkata demikian semasa mengadakan pertemuan minum petang bersama kesemua tujuh presiden komponen GRS di Sri Gaya petang Rabu.
Hajiji yang juga Pengerusi GRS dan Presiden Gagasan Rakyat meluangkan masa hampir tiga jam bersama Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, Presiden STAR Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan, Presiden USNO Tan Sri Pandikar Amin, Presiden Parti Cinta Sabah Tan Sri Anifah Aman, Presiden Parti Maju Sabah Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee, Presiden Parti Liberal Demokratik Datuk Chin Su Phin, dan Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah Tan Sri Liew Yun Fah.
Hadir sama dalam pertemuan mesra itu ialah Timbalan Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Seri Masidi Manjun.
