AMD aktif dan berintegriti bantu pembangunan dasar negeri: Hajiji

TUARAN: Ahli Majlis Daerah (AMD) diminta untuk terus mengekalkan corak kerja yang cemerlang dengan memainkan peranan aktif serta berintegriti dalam usaha untuk menyokong pelaksanaan dasar pembangunan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata AMD berfungsi sebagai penyambung suara rakyat dan menjadi agen kepada pelaksanaan inisiatif kerajaan khasnya dalam Pelan Pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Untuk kita capai apa yang kita hasratkan dalam Hala Tuju SMJ, penting untuk AMD bergerak lebih proaktif, khasnya untuk menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat.

“Hal ini pastinya boleh dicapai dengan adanya ilmu serta kefahaman mengenai fungsi, peranan dan tanggungjawab mereka, sekaligus inilah juga yang penting untuk memudahkan pelaksanaan dasar kerajaan khasnya dalam menyampaikan bantuan serta program pembangunan kepada rakyat, dengan cekap dan telus,” katanya.

Hajiji berkata demikian semasa hadir dalam Majlis Angkat Sumpah dan Penyampaian Watikah Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Daerah Tuaran, tahun 2025 di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, Pelan Pembangunan SMJ boleh direalisasikan dengan berkesan namun ini adalah bergantung kepada komitmen yang melibatkan pelbagai pihak, termasuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan AMD.

“AMD mesti berganding bahu dengan Kerajaan Negeri dalam menyebarluaskan maklumat dasar, inisiatif serta bantuan untuk rakyat.

“Ada beberapa inisiatif pembangunan yang sedang dan juga bakal dilaksanakan di daerah ini (Tuaran), termasuk usaha menaik taraf infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik, pembangunan pelancongan serta pengukuhan keusahawanan tempatan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hajiji juga memberitahu bahawa kunci kepada kejayaan sesebuah usaha pembangunan adalah kecekapan dalam penyampaian.

“Kunci utama adalah penyampaian yang cekap, dan untuk itu, Ahli Majlis perlu turun padang, lihat sendiri masalah serta isu yang rakyat sedang alami keranan dengan car aini sahaja kita akan tahu, kita akan mampu mengambil tindakan yang perlu, sewajarnya dengan penuh integriti, ikhlas dan telus,” jelasnya.

Tambah Hajiji lagi, peranan AMD sebagai perantara rakyat dengan kerajaan jelas dan bersifat menyeluruh kerana ia menyentuh aspek dari awal sesuatu masalah rakyat di suarakan dan dibawa ke peringkat pentadbiran.

“Dari awal, AMD adalah jambatan untuk kerajaan dengan rakyat, AMD akan bawa suara rakyat dan akan pastikan setiap dasar serta program kerajaan difahami, seklaigus diterima oleh masyarakat.

“Pelantikan AMD kali ini terdiri daripada pelbagai latar belakang termasuk bekas penjawat awam, ahli perniagaan tokoh belia serta wakil badan bukan kerajaan (NGO), mewakili suara empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tuaran, iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu,” tambahnya.

Hajiji turut menzahirkan keyakinannya dan menyeru semuya AMD untuk terus mengekalkan corak kerja positif yang konsisten demi untuk memastikan kesejahteraan rakyat Tuaran.

Hadir sama dalam majlis itu ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Datuk Jahid  Jahim, Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Datuk Isnin  Aliasnih, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri Datuk  Joniston Bangkuai, Ahli Parlimen Tuaran Datuk Seri Wilfred Madius Tangau  dan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Pantai Dalit Datuk Jasnih Daya. 

 

 

Tinggalkan komen