18 AMD Ranau angkat sumpah hari ini

RANAU: Seramai 18 individu yang dilantik sebagai Ahli Majlis Daerah (AMD) Ranau, sesi 2025–2027 mengangkat sumpah hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam.

Joachim semasa berucap meminta agar semua AMD memainkan peranan dalam menyampaikan tugas kepada rakyat dan menjadi tunjang kepada dasar serta tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Tahniah kepada semua 18 orang AMD yang dilantik dan ini adalah atas kepercayaan yang diberikan oleh kepimpinan Kerajaan Negeri.

“Anda adalah ‘kaunselor’ kepada Kerajaan Peringkat Ketiga, anda juga memainkan peranan penting dalam kesejahteraan masyarakat setempat,” katanya.

Dalam pada itu, Joachim turut menegaskan bahawa PBT mempunyai kuasa tersendiri dan setiap keputusan yang dibuat perlu diteliti dengan penuh tanggungjawab serta berlandaskan kepentingan awam.

“Daripada pelesenan premis, pelan pembangunan, kawalan hasil hinggalah kelulusan teknikal, semuanya memberi kesan langsung kepada rakyat dan kita memerlukan kecekapan dan ketelusan dalam setiap tindakan,” jelasnya lagi.

Tambah Joachim lagi, kesepaduan antara semua jabatan juga penting dalam memastikan usaha pembangunan yang dirancang dapat memenuhi keperluan ekonomi.

“Ini bukan untuk memenuhi keperluan ekonomi sahaja, tetapi juga lestari dari segi alam sekitar dan kebajikan rakyat.

“Untuk itu, bandar kecil seperti Ranau dan Kundasang ini berdepan cabaran urbanisasi dan memerlukan AMD yang progresif, mampu menggubal dasar yang mesra pelabur, mesra rakyat dan berpandangan jauh agar Ranau terus berkembang secara mampan.

“Jangan sia-siakan kepercayaan yang telah diberikan. Saya percaya, dengan kerjasama semua pihak, Ranau akan terus maju sebagai daerah yang membangun secara inklusif, laksanana amanah dengan berintegriti dan penuh dedikasi,” katanya. 

Hadir sama dalam majlis itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Datuk Dr. Jamili Nais, ADUN dilantik Datuk Amisah Yasin, Pegawai Daerah Ranau Tinus Manggam, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Ranau Elmer Endra M. Sator, wakil kepada Ahli Parlimen Ranau Louis Sinti, wakil kepada ADUN Karanaan Datuk Faimin Kamin, wakil kepada ADUN Paginatan Hishamuddin Harun, Ketua Daerah OKK Muhasip Haji Roman dan OKK Dominic Ghanie.

Tinggalkan komen