Oleh: Zacherlyn Ad
KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Salleh Said Keruak menjelaskan perpaduan dan keharmonian Sabah sebagai sebuah aset berharga dan tidak sewajarnya digugat dengan sentimen politik perkauman.
“Mengapa isu perkauman masih berlaku di Semenanjung Malaysia walaupun selepas 60 tahun merdeka?
“Situasi ini berbeza dengan kita di Sabah kerana di Sabah, kita hidup dengan komuniti berbilang bangsa, harmoni dan kita saling meraikan satu sama lain tanpa halangan,” katanya dalam sebuah hantaran di laman media sosial Facebook miliknya.
Salleh yang juga merupakan Bendahari Umno Negeri Sabah juga berkata, rakyat Sabah mengamalkan pegangan dan kepercayaan agama masing-masing serta saling menghormati.
“Inilah sebahagian daripada kehidupan seharian kita di Sabah, kita harmoni dan faham satu sama lain.
“Memang wujud perbezaan politik, tetapi ini tidak dijadikan sebagai sebuah perbezaan yang memecahbelahkan rakyat Sabah,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Salleh juga memberitahu bahawa perbezaan pandangan politik tidak seharusnya dijadikan sebagai alasan untuk memutuskan hubungan silaturahim atau keakraban jiran tetangga.
“Politik di Sabah ini lebih tertumpu kepada usaha untuk pembangunan dan keperluan rakyat rakyat, misalnya peluang pekerjaan, jalan raya, pendidikan dan bekalan air bersih.
“Tidak perlu untuk ulas panjang lebar tentang apa yang berlaku di tempat lain, tapi apa yang jelas ialah jangan jadikan isu perkauman sebagai wadah perpecahan.
“Isu perkauman seperti ini tidak wajar dibiarkan bertapak di Sabah kerana keharmonian dan perpaduan kita adalah keunikan kita, wajar dipertahankan dan teruskan hidup dengan semangat saling menghormati,” ujar Salleh lagi.
