TUARAN: Pelan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri adalah menyeluruh termasuk usaha memelihara khazanah alam semula jadi Sabah melalui peluasan kawasan Kinabalu UNESCO Global Geopark (KUGGP) dan Crocker Range Biosphere Reserve, untuk pembangunan lestari Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pengiktirafan antarabangsa oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap Taman Kinabalu sebagai Tapak Warisan Dunia dan Global Geopark, serta Banjaran Crocker sebagai Biosphera Reserve, telah meletakkan Sabah sebagai antara tiga kawasan di dunia yang mencapai gelaran “Triple Crown of UNESCO”.
“Pengiktirafan yang diperoleh itu adalah sebuah penghormatan dan tanggungjawab besar kerana ia adalah satu petanda untuk kita bekerja lebih keras dalam usaha mengukuhkan asas saintifik dan meningkatkan kesedaran orang awam dalam usaha untuk memelihara sumber alam secara berterusan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir dalam Majlis Pelancaran Proses Konsultasi Bersama Pihak Berkepentingan dan Komuniti Tempatan serta Ekspedisi Saintifik Peluasan KUGGP dan Crocker Range Biosphere Reserve di Linangkit Cultural Village, hari ini.
Menurut Hajiji, cadangan bagi usaha peluasan KUGGP ke daerah Tuaran adalah sebuah langkah strategik yang turut mendapat sokongan penuh Kerajaan Negeri.
“Kawasan ini bukan cuma kaya dengan biodiversiti tetapi juga mempunyai berpotensi yang amat besar dalam sektor eko-pelancongan dan pembangunan komuniti,” katanya.
Dalam pada itu. Hajiji turut mengumumkan rancangan untuk mewujudkan sebuah Pusat Kesedaran Awam atau galeri info di Tuaran, sebagai syarat tambahan bagi memenuhi kriteria UNESCO.
“Pusat ini bakal memainkan peranannya sebagai platform utama untuk usaha sebaran maklumat dan pendidikan kepada masyarakat setempat.
“Saya juga ingin meminta agar Jawatankuasa KUGGP bersama Pejabat Daerah Tuaran untuk kenalpasti lokasi yang sesuai untuk kita tubuhkan pusat yang sudah pasti amat penting untuk kita jadikan sebagai langkah memberi kesedaran kepada komuniti terhadap kepentingan Geopark ini,” katanya lagi.
Tambah beliau lagi, usaha pembangunan Geopark akan menumpukan kepada sains dan pemuliharaan serta memperkasa ekonomi komuniti khasnya melalui pelancongan geokhazanah.
“Kita di Sabah ini, unik kerana kita ada kelebihan dari segi alam semulajadi, kita ada hutan hujan tropika, gunung, laut dan biodiversiti kita pelbagai, cukup indah.
“Misalnya beberapa lokasi eko-pelancongan yang sudah berjaya seperti Nohutu Eco-Tourism di Kota Belud, Kiulu Farmstay, Walai Tobilung Cultural Centre di Kota Marudu, dan Misompuru Homestay di Kudat, yang boleh dijadikan contoh kepada usaha pembangunan eko-pelancongan di Tuaran,” tambah Hajiji.
Selain itu, beliau turut menyentuh berkenaan kejayaan Ekspedisi Saintifik Geo-Sulaman (EGOS 2025) yang baru selesai dilaksanakan.
“Saya berharap semoga hasil kajian tersebut dapat didokumentasikan secara menyeluruh dan kelak boleh dijadikan sebagai panduan atau asas dalam pembangunan pelan pengurusan, garis panduan serta bahan pendidikan berkaitan peluasan kawasan Geopark.
“Untuk pengetahuan semua juga, Kerajaan Negeri turut merancang ekspedisi saintifik tambahan di sekitar Banjaran Crocker, melibatkan daerah Ranau dan Tuaran sebagai persediaan memperluaskan lagi kawasan Crocker Range Biosphere Reserve.
“Kejayaan Geopark tidak hanya terletak pada namanya, tetapi pada usaha kolektif kita untuk belajar, berkongsi, dan melindungi khazanah alam ini agar kekal untuk generasi akan datang,” jelasnya lagi.
Majlis itu juga turut menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk agensi kerajaan, penyelidik dari institusi pengajian tinggi (IPT), wakil komuniti tempatan serta badan bukan kerajaan (NGO), yang turut serta menjayakan ekspedisi saintifik dan rundingan pelanjutan kawasan Geopark.
