Kerajaan Negeri terus perkasa usaha tambahbaik perkhidmatan kesihatan: Hajiji

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri akan terus berusaha untuk memperkasa segala usaha yang menyokong kepada penambahbaikan perkhidmatan kesihatan untuk semua rakyat Sabah di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata usaha itu adalah penting kerana aspek kesihatan rakyat adalah sebahagian daripada nadi pembangunan dan kejayaan sesebuah negeri.

“Hal ini termasuklah dengan pakar-pakar dalan bidang kesihatan pergigian yang mana kita tahu, kesihatan gigi juga amat penting untuk difokuskan bagi memastikan kelangsungan kualiti hidup.

“Kerajaan sentiasa mencari peluang untuk menambahbaik kualiti penjagaan kesihatan gigi dan untuk itu, kongres kali ini juga diharap mampu menjadi platform pertukaran idea berkenaan langkah sewajarnya untuk kita bersama-sama memastikan perkhidmatan penjagaan gigi kita dapat ditingkatkan, di seluruh pelusuk negeri,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Setiausaha Politik, Datuk Dr. Roland Chia, semasa Kongres Pergigian Borneo kali ke-13 dan Pameran Perdagangan di sini, hari ini.

Menurut Hajiji, tema kongres tersebut adalah menggambarkan usaha berterusan dan inovasi dalam profesion pergigian.

“Beam Forward, Illuminate Progress”  (Mara ke Hadapan, Sinari Kemajuan) adalah teman yang tepat dalam menggambarkan usaha berterusan untuk memperjuangkan kepentingan kesihatan pergigian.

“Bidang ini, menjadi seorang pakar pergigian pastinya kita lihat sendiri kemajuan dan perubahan luar masa seiring peredaran masa, dan kongres ini turut memberi peluang untuk anda semua yang berada dalam bidang ini, bagi saling bertukar pengetahuan dan berkongsi kemajuan teknologi semasa demi untuk memacu kejayaan dalam bidang kesihatan penjagaan pergigian.

“Kita semua maklum bahawa amat penting untuk menjaga dan mengambil berat tentang kesihatan tubuh badan termasuk kesihatan pergigian, dan kerana inilah, perlu untuk segala usaha bagi mencari inovasi yang mungkin perlu diketengahkan dalam meningkatkan operasi kesihatan pergigian,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Hajiji turut menzahirkan harapan beliau agar kongres tersebut mampu menjadi wadah baru bagi menjana idea, penyelesaian dan inovasi yang kelak mampu memberi manfaat menyeluruh.

“Saya amat berharap agar kongres ini memberi sebuah inspirasi kepad anda semua untuk terus bekerjasama membentuk ruang harmoni dan sejahtera dalam profesion kesihatan pergigian.

“Semoga usaha murni ini mampu menjadi pemacu kepada peningkatan profesion kesihatan pergigian, sekaligus merangsang kepada pertumbuhan komuniti sihat,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen