Muhasabah diri sebelum bersuara lantang: Gagasan Rakyat

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Likas, Datuk Mohammad Bahrin Abd Karim menggesa semua pihak untuk tidak berterusan menyebarkan publisiti politik tidak matang dan bermuhasabah diri sebelum mengeluarkan sesuatu perkongsian atau kenyataan.

“Tidak wajar jika tuduhan-tuduhan dilemparkan secara melulu, tanpa ada asasnya dan dikongsikan kepada pihak media, apatah lagi jika ianya adalah sesuatu yang melibatkan kes yang dalam bidang kuasa pihak berwajib dan belum dibuktikan di mahkamah. 

“Jika ada pihak yang berbuat demikian, ia seolah-olah menampakkan sifat mengejar publisiti politik murahan dan tidak matang, bahkan jelas mencerminkan sikap hipokrit pihak sana (Warisan).  

Menurut Mohammad Bahrin, tindakan pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan), Justin Wong yang menggesa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dan beberapa ADUN Gabungan Rakyat Sabah (GRS) supaya meletakkan jawatan kononnya atas dasar ‘sayangkan Sabah’ adalah tidak wajar.

“Jangan pusing fakta dan cuba sembunyikan kegagalan anda dengan menundingkan jari kepada GRS kerana GRS memerintah dengan mandat daripada rakyat Sabah yang sah. 

“Dulu semasa Warisan mentadbir tampuk pemerintahan negeri, apa mereka buat?… dan yang pasti terus menabur janji kosong, sekaligus mengundang masalah ketidakstabilan politik.

“Inilah kelemahan pentadbiran kerajaan Warisan dullu, satu penggal pun tidak mampu dipertahankan, tapi sekarang, mau jadi hero, nampak sangatlah ada motif peribadi, sandiwara semua ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media di sini, hari ini. 

Dalam pada itu, beliau turut meminta agar semua pihak untuk tidak terpedaya dengan hasutan jahat pihak pembangkang yang menggesa pengunduran pemimpin GRS termasuk Hajiji kerana tuduhan rasuah itu masih belum terbukti sahih dan masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Tuduhan itu hanya berdasarkan dokumen yang belum disahkan sahih dan spekulasi liar adalah satu tindakan yang tidak  bertanggungjawab. 

“Kita menghormati proses undang-undang dan menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menyiasat secara adil dan profesional,” katanya lagi.

Tambah Mohammad Bahrin lagi, Hajiji telah menyatakan pendirian secara terbuka dan berani mengenai isu dana politik—isu yang tidak asing dalam mana-mana sistem demokrasi di dunia. 

“Warisan juga tidak terkecuali daripada realiti tersebut ketika mereka memerintah.

“Jadi, tidak salah jika saya ingin berpesan, wahai Justin Wong dan orang-orang sebelah sana (Warisan), sudahlah, jangan terlalu banyak bercakap benda karut, siap sedia untuk berjuang nanti di gelanggang pada PRN ke-17 akan datang,” jelasnya lagi.

Mohammad Bahrin juga memberitahu bahawa rakyat bijak dalam menilai rekod dan prestasi pemimpin yang mentadbir Sabah serta tidak mudah terpedaya dengan cakap kosong pembangkang.

“Kiya yakin rakyat Sabah semakin matang dan mampu menilai mana kaca dan mana permata.

“Jika ingin meraih simpati daripada rakyat dengan menggunakan isu-isu yang sengaja disensasikan, saya rasa, berhenti sajalah, buang masa saja,” ujarnya lagi.

Tinggalkan komen