
KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (JHEANS) komited dalam usaha menambahbaik sistem perkhidmatan dan melaksanakan pelbagai transformasi tadbir urus yang lebih efisien, responsif dan mesra rakyat.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata kejayaan itu termasuk penggunaan teknologi maklumat (ICT), penyusunan semula sistem pentadbiran adat di Mahkamah Anak Negeri, dan peningkatan profesionalisme dalam penyampaian perkhidmatan.
“Saya menyambut baik usaha-usaha pembaharuan yang dibuat dan ini adalah bukti bahawa JHEANS sedang berada di landasan yang betul dalam memperkasa institusi adat di negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) JHEANS 2024 di Hotel Le Meridien, Kota Kinabalu, malam tadi.
Joachim yang juga merupakan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah juga memberitahu, penjawat awam bukan sekadar pihak pelaksana dasar semata-mata, tetapi berfungsi sebagai perantara untuk kerajaan dan rakyat.
“Untuk ini kita mesti sentiasa semangat dan kualiti perkhidmatan awam perlu sentiasa diperkasakan.
“Anugerah yang diberikan hari ini bukan sahaja menghargai kecemerlangan individu, malah menjadi sumber inspirasi kepada rakan sekerja lain untuk terus berkhidmat dengan penuh amanah dan integriti.
“Harapan saya untuk semua warga JHEANS sudah pasti amat besar dan saya mahu semua daripada kita untuk terus menjiwai semangat ‘Berbakti dengan ikhlas, bekerja dengan amanah’ dalam menyumbang kepada agenda Kerajaan Negeri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Joachim juga menzahirkan keyakinannya bahawa JHEANS dalam fungsi memperkasakan penguatkuasaan Undang-Undang Adat di Sabah serta menjadi tonggak kepada kelestarian warisan adat Sabah.
“Semoga jabatan ini terus menyuburkan budaya kerja positif serta memimpin berteraskan enam tonggak Malaysia MADANI iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan,” tambahnya.
Joachim turut mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM1,000 setiap penerima kepada 3,983 Ketua-Ketua Adat di seluruh negeri.
“Bantuan khas kewangan ini akan disalurkan sebelum sambutan Pesta Kaamatan tidak lama lagi.
“Bantuan khas ini juga adalah tanda penghargaan terhadap jasa dan sumbangan Ketua-Ketua Adat dalam memelihara keharmonian masyarakat dan memperkukuh Mahkamah Anak Negeri di bawah naungan Kerajaan Negeri,” jelasnya.
Hadir sama dalam majlis itu ialah Pembantu Menteri KKTP Datuk Isnin AliasnihX Timbalan Setiausaha Tetap II Faridah Giau, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah Nordin Lossin, Pegawai Daerah Kunak Majaran Osman yang juga mantan Pengarah JHEANS dan Timbalan Pengarah (Pentadbiran) Noraisah Saiman.
