KOTA KINABALU: Sabah Softwoods Berhad (SSB) sentiasa fokus dalam hala tuju untuk tampil sebagai peneraju utama industri huluan kayu kayan di Sabah.
Pengerusinya, Datuk Arsad Bistari berkata, sebagai sebuah anak syarikat yang ditubuhkan sejak 52 tahun lalu, SSB sentiasa komited menjalankan fungsinya secara profesional dan akan meneruskan usaha memberi manfaat kepada anak-anak Sabah melalui institusi Yayasan Sabah.
“Berikutan ada cubaan pihak tertentu memanipulasi operasi syarikat ini sebagai bahan polemik dengan memberi gambaran negatif terhadap warga syarikat dan kerajaan Sabah secara umumnya, maka adalah wajar untuk saya jelaskan bahawa SSB tidak meminggirkan fungsinya dan membuat perkara tidak beretika yang merugikan ekonomi kita di Sabah.
“Hantaran di laman media sosial Facebook berkenaan eksport kayu jenis kayu putih (eucalyptus) oleh SSB ke luar negara telah mewujudkan persepsi dan komen negatif orang awam yang tersasar jauh daripada realiti dan fakta sebenar.
‘Eksport kayu jenis kayu putih (eucalyptus) oleh syarikat ini mematuhi sepenuhnya undang-undang dan peraturan Malaysia serta tertakluk kepada pemantauan dan kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan seperti Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Kastam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini hari ini.
Menurut Arsad, SSB beroperasi dengan pengiktirafan Majlis Pengawasan Hutan (FSC) dan tidak melakukan perkara-perkara industri kayu yang salah di sisi undang-undang.
“Sebagai salah satu anak syarikat Yayasan Sabah yang memfokuskan pembangunan industri perkayuan di peringkat huluan (upstream), operasi SSB diiktiraf dan FSC ini adalah sebuah organisasi antarabangsa yang bertanggungjawab menetapkan piawaian pengurusan hutan di seluruh dunia.
“Pensijilan FSC meliputi aspek menyediakan kerangka tadbir urus dalam memastikan ladang perkayuan SSB diurus secara bertanggungjawab untuk mencegah pembalakan haram dan penyahutanan.
“Hal ini sekaligus untuk meningkatkan kredibiliti pengurusan ladang perkayuan yang beretika dan mampan,” jelasnya lagi.
Dalam pada itu, Arsad juga memberitahu bahawa operasi eksport kayu kayan SSB turut diperakui oleh Sistem Jaminan Kesahan Kayu Sabah (TLAS).
“TLAS yang memastikan kayu tersebut berasal dari ladang perkayuan yang diurus secara bertanggungjawab dan dapat dijejak melalui rantaian bekalan yang disahkan, serta memenuhi piawaian alam sekitar, sosial dan undang-undang antarabangsa.
“Pensijilan TLAS adalah satu sistem usaha wajar (due diligence) yang memastikan produk kayu yang berasal dari Sabah dituai, diproses dan diperdagangkan mengikut undang-undang dan peraturan serta piawaian antarabangsa termasuk peraturan eksport,” ujar beliau lagi.
