Pamer harga ubat berkuat kuasa hari ini: KKM dan KPDN

Oleh: Zacherlyn Ad

KOTA KINABALU: Inisiatif Penandaan Harga Ubat di kemudahan penjagaan kesihatan swasta dan farmasi komuniti mulai berkuat kuasa hari ini.

Hal itu selaras dengan komitmen kerajaan dalam usaha melaksanakan agenda ketelusan harga melalui Mekanisme Ketelusan Harga Ubat (MKHU).

Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memberitahu dalam kenyataan bersama semalam, memaklumkan bahawa usaha itu adalah usaha bersama bagi melaksanakan inisiatif itu melalui Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Ubat) 2025 di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011(Akta 723).

“Pelaksanaan inisiatif tersebut bertujuan untuk memastikan rakyat mempunyai pilihan bermaklumat dengan mengetahui, membuat perbandingan dan memilih harga yang terbaik dalam merancang perbelanjaan ubat-ubatan.

“Skop penandaan harga ubat-ubatan merangkumi semua jenis ubat bagi kegunaan manusia termasuk ubat-ubatan yang memerlukan preskripsi dan sebaliknya, ubat melalui kaunter, ubat tradisional, suplemen kesihatan dan sediaan yang dibancuh.

“Penandaan harga ubat juga hendaklah dilakukan dalam bentuk senarai harga atau tanda harga dan ubat-ubatan yang dipamerkan bagi bagi tujuan jualan yang boleh diakses oleh pengguna, hendaklah dilabel dengan tag atau tanda harga,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, bagi ubat yang tidak dipamerkan atau diletakkan di belakang kaunter dan tidak boleh diakses atau dilihat oleh pengguna pula hendaklah dipaparkan senarai harga jualan sama ada dalam bentuk katalog, papan kenyataan atau skrin elektronik.

Dalam pada itu, kenyataan bersama itu turut memaklumkan bahawa fasa awal pemantauan serta penguatkuasaan inisiatif tersebut akan menggunakan pendekatan penguatkuasaan pendidikan secara berfasa bagi tempoh tiga bulan pertama.

“Langkah itu untuk memastikan aktiviti penguatkuasaan dijalankan secara berhikmah, ihsan dan berkesan bagi membolehkan setiap fasiliti kesihatan swasta membuat penyesuaian dan pembaharuan secara berperingkat.

“Pemeriksaan akan dijalankan dari semasa ke semasa dengan pendekatan advokasi bagi memastikan pematuhan terhadap perintah ini.

“Penguatkuasaan penandaan harga ubat-ubatan akan dilaksanakan oleh KKM dengan panduan dan kerjasama KPDN,” jelas kenyataan itu lagi.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh mengakses soalan lazim berkaitan Inisiatif Penandaan Harga Ubat melalui lama sesawang portal rasmi Program Perkhidmatan Farmasi, KKM di http://www.pharmacy.gov.my atau emelkan sebarang persoalan ke alamat chu@moh.gov.my.

Bagi tujuan aduan berkaitan isu harga ubat pula, boleh disalurkan melalui platform Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) KKM di pautan https://moh.spab.gov.my atau atau portal eAduan KPDN, https://eaduan.kpdn.gov.my/.

Tinggalkan komen