Tuduhan tanpa asas, ketara penuh niat jahat: Nizam

Oleh: Zacherlyn Ad

Nizam

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata tuduhan yang dilemparkan oleh mereka yang mempersoal usaha Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor dalam memerangi rasuah adalah tidak berasas dan penuh niat jahat.

“Saya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Pemuda BERSATU Sabah dan UMNO Sabah tentang usaha KM berkenaan isu tersebut dan ringkaskan, ini adalah sesuatu yang berunsur politik, tiada asasnya.

“Tuduhan yang mereka lontarkan sangat bersifat serang peribadi, dan dilontarkan semata-mata untuk mengaburi mata rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah yang bakal berlaku bila-bila masa saja dalam tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurut Nizam, sejak Hajiji menerajui kepimpinan negeri, pelbagai usaha penambahbaikan pentadbiran yang berteraskan prinsip integriti, akauntabiliti dan ketelusan serta pemantauan kewangan yang lebih ketat sudah dilaksanakan.

“KM kita bukan cakap kosong, beliau ada visi dan misi, ada pasukan yang merancang, melaksanakan, meneliti dan menyampaikan apa yang perlu diberikan kepada negeri Sabah dengan berpegang kepada prinsip dan etika yang sewajarnya.

“Saya juga ingin tegaskan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merupakan entiti bebas yang bertanggungjawab menyiasat kes-kes rasuah.

“Maka, semua pihak perlu tahu dan Kerajaan Negeri yang dipimpin KM tidak pernah mencampuri proses siasatan, malah memberi kerjasama penuh kepada apa jua tindakan yang diambil oleh agensi berkenaan,” katanya lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas itu juga menjelaskan bahawa serangan jahat pihak luar yang ditujukan kepada Hajiji adalah satu cerminan sifat buruk pihak pembangkang yang lebih gemar untuk bermain politik berbanding bekerja untuk rakyat Sabah.

“Serangan terhadap KM ini bukan sahaja berniat jahat, malah mencerminkan motif politik kotor lagi busuk, pihak pembangkang.

“Mereka akan sentiasa cuba mencari ruang untuk kembali relevan setelah rakyat mengetahui modal politik sempit yang mereka tawarkan dan realitinya, rakyat  Sabah sudah menyedari akan permainan hal tersebut, mereka tidak mahu kembali ke era lama Sabah,” jelasnya lagi.

Dalam pada itu, Nizam turun menegaskan bahawa Hajiji adalah seorang pemimpin yang mempunyai hala tuju, fokus dan meletakkan usaha pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat sebagai asas perntadbiran kerajaan.

“Kita kena tahu, jika ada yang buat salah, maka biar pihak yang berwajib dan bertanggungjawab ambil tindakan bagi salah laku, berdasarkan fakta dan proses undang-undang, bukan atas desakan politik.

“KM kita tidak pernah ambil kisah dan tidak pernah campur hal rasuah, beliau ada perjuangan lain yang harus diutamakan, iaitu perjuangan memajukan Sabah dan bantu rakyat Sabah, bukan janji semata-mata,” katanya. 

Nizam juga menyeru semua pihak terutama rakyat di peringkat akar umbi agar tidak termakan dengan hasutan dan dakyah jalan kiri pihak pembangkang yang jelas hanya mahu memecah-belahkan keharmonian Sabah.

“Saya percaya, ramai yang nampak macammana KM kita bekerja dan insyaAllah, beliau akan terus memimpin dengan integriti dan tidak akan tunduk kepada tekanan pihak lain yang hanya pandai bercakap, seolah-olah menangguk di air keruh,” ujar Nizam.

 

Tinggalkan komen