‘Jo-Anna sudah keluar, bukan ahli Warisan lagi’: Shafie

KOTA KINABALU: “Jo-Anna sudah keluar, dia bukan lagi ahli Warisan dan itu terserah, hak dia,” kata Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung status Jo-Anna Sue Henley Rampas yang merupakan bekas Timbalan Ketua Wirawati Warisan.

Jelas Shafie, hak dan keputusan itu adalah hak Jo-Anna dan beliau bebas untuk memilih parti lain, dan tidak mempunyai sebarang paksaan untuk menyokong sesiapa.

“Itu hak dia, terpulang kepadanya untuk meninggalkan Warisan dan memilih parti lain, kita bagi dia peluang calon beberapa kali, jadi terpulang kepadanya siapa yang disokong.

“Kita tidak ada paksaan, kalau mereka keluar, biarkan dan jika dia percaya akan kerajaan pimpinan Datuk Seri Hajiji Noor boleh selesaikan masalah empat tahun, itu terpulang,” jelasnya ketika ditemui pemberita selepas hadir pada Siri Jelajah Presiden Warisan Parlimen Sepanggar di Taman Sepanggar, pada Ahad.

Ahli Parlimen Semporna itu memberitahu bahawa keputusan yang diambil oleh seorang ahli parti itu tidak menjejaskan parti kerana parti masih mendapat pertambahan ahli.

“Parti ini tidak bergantung dengan individu tapi rakyat, kita bergantung dengan rakyat untuk memastikan kekuatan yang ada.

“Yang paling penting rakyat, dia keluar tapi kita tahu yang masuk ramai.

“Dari Sandakan, dari Kudat dan Tawau juga akan lebih ramai yang menyertai Warisan,” jelasnya lagi.

Pada 1 Ogos lalu, sebuah hantaran media sosial yang dibuat Jo-Anna berkenaan spekulasi dan penglibatan beliau dalam jawatan serta dunia politik kini terjawab.

“Pelbagai spekulasi dari pelbagai pihak dalam media sosial ditujukan kepada saya dan dengan ini saya ingin katakan hal yang sama lagi.

“Walaupun sebenarnya sejak Disember tahun lalu telahpun saya nyatakan.

“Saya kini dalam perjalanan memenuhi keperluan ilmu di dada dan saya tidak memegang sebarang jawatan dalam mana-mana parti politik sejak tahun lalu kerana saya kembali ke jalan ilmu, saya sambung pengajian PhD di Unimas,” katanya.

Dalam hantaran yang dibuat oleh ratu cantik unduk ngadau yang terdahulu bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) ini juga menjelaskan bahawa beliau tidak bercadang untuk berada dalam arena politik semasa kerana sedang sibuk dengan pengajian.

“Sekarang ni, tesis dan kajian saya dalam proses dan mungkin untuk tempoh masa sekitar 18 bulan hingga dua tahun lagi, saya akan sepenuhnya fokus untuk hal ini,” katanya lagi.

Jo-Anna bagaimanapun memberitahu bahawa beliau sentiasa akan mengikuti perkembangan semasa dan berkongsi pandangan berkenaan isu semasa politik di Sabah.

“Saya akan kongsi dan ambil tahu apa yang berlaku dengan politik Sabah.

“Ok, sudah jawab,” ujarnya ringkas.

Jo-Anna merupakan bekas pemegang mahkota ratu cantik (Unduk Ngadau) Sabah bagi tahun 2007 dan merupakan seorang garduan undang-undang dari sebuah institusi pengajian dari United Kingdom.

Beliau pernah menjadi calon Warisan bagi kerusi Parlimen Tuaran semasa Pilihan Raya Umum ke-15, November 2022 dan tewas kepada calon UPKO, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Terdahulu, Jo-Anna juga pernah menjadi calon bertanding bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, 2018 dan tewas kepada calon Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Joniston Bangkuai.

Tinggalkan komen