KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menyatakan pendirian parti itu bahawa setakat ini, belum ada sebarag keputusan untuk bekerjasama dengan sesiapa sahaja atau dari mana-mana pihak parti.
Katanya, ada rundingan tidak rasmi dibuat namun setakat ini belum ada sebarang keputusan muktamad untuk mewujudkan kerjasama dengan mana-mana parti.
“Boleh duduk semeja, boleh minum di kedai kopi juga kadang-kadang, bukannya tidak boleh.
“Mahu runding sini, mahu runding sana, boleh, runding boleh saja, bukannya tidak ada, tetapi bagi kita (Warisan), belum ada lagi sebarang keputusan untuk bekerjasama dengan mana-mana parti,” katanya semasa berucap dalam Program Jelajah Presiden Warisan Parlimen Sepanggar di Taman Sepanggar, di sini pada Ahad.
Ahli Parlimen Semporna itu juga berkongsi kekesalannya berkenaan kesukaran bagi Sabah untuk mendapat sokongan berkaitan Hak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), walaupun sekarang sudah menjalinkan kerjasama erat dengan beberapa pemerintahan.
“Suara orang Sabah dalam Parlimen Malaysia cuma ada 25 kerusi saja dan ini sangat terhad.
“Puas dah saya jalin kerjasama dari kerjasama dengan Mahathir, Najib, Anwar, Muhyiddin dan sekarang masih kerjasama dengan Anwar kerana kita sokong Kerajaan Persekutuan.
“Kita tahu kerusi Parlimen ada 222, dan kita cuma 25 kerusi saja jika dibandingkan dengan Semenanjung 168 kerusi dan Sarawak 31 kerusi,” ujarnya lagi.
