KOTA KINABALU: Pengguna harus bijak dalam membandingkan harga barangan yang tidak dikawal oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) agar tidak ditipu.
Presiden Persatuan Pengguna Bijaksana Pantai Barat Sabah, David Chan meminta pengguna sebelum membeli barangan yang tidak dikawal oleh KPDNHEP, pengguna disarankan untuk membandingkan harga di kedai-kedai lain.
Beliau berkata pengguna perlu bijak untuk membandingkan harga yang berpatutan untuk mengelakkan mereka ditipu atau membayar harga lebih tinggi.
“Dalam kita membuat perbandingan harga, kita perlu juga meneliti kualiti barangan terbabit. Pengguna perlu bijak dan sedar akan hak masing-masing dalam membeli barangan.
“Tindakan sewajarnya akan diambil oleh pihak penguatkuasa sekiranya harga diletakkan oleh peniaga tidak masuk akal,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas melawat bazaar Ramadan sekitar bandaraya Kota Kinabalu di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, persatuan pengguna sering menerima aduan daripada orang ramai mengenai di beberapa pasar raya dan kedai borong di sekitar bandaraya ini mendapati stok minyak masak paket sukar didapati.
David turut berkata, harga makanan yang dijual di bazaar Ramadan agak mahal daripada kebiasaan dan menasihati pengguna untuk tidak berbelanja secara berlebihan.
“Jimat-cermat semasa membeli juadah berbuka kerana kadang-kadang keinginan di siang hari membawa kepada pembaziran kerana tidak sempat untuk dihabiskan, dan akhirnya makanan dibuang.
“Kawal perbelanjaan, beli mana perlu dan berjimat juga amalan yang dituntut selain daripada berpuasa pada bulan Ramadan,” katanya lagi.
Orang ramai boleh membantu KPDNHEP Sabah dengan melaporkan setiap kesalahan dengan menggunakan nombor talian 088-484368 (KPDNHEP Kota Kinabalu), Whatsapp 019-2794317 (Aduan Pengguna) atau emel e-aduan@kpdnhep.gov.my.
