KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat farmasitikal tempatan, Bio Fluid Sdn Bhd memulakan projek penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi menghasilkan ubat oral anti diabetik yang akan menggunakan formula yang dipatenkan sebagai Ganoringa.
Pengarah dan Pengasas Bersama, Rohaizad Abdul Raoof berkata penghasilan ubat tersebut amat penting sejajar dengan perkembangan terkini yang menyaksikan bilangan pesakit diabetes semakin meningkat termasuk di Malaysia.
“Bilangan pesakit diabetes di negara ini kian bertambah dan boleh dikatakan semakin membimbangkan dan Malaysia berada di tempat pertama sebagai negara yang mempunyai bilangan diabetes yang tinggi di Asia dan secara global di tangga ke-3 selepas Qatar dan Guam.
“Ganoringa mampu memberikan kesan positif dengan meningkatkan sistem imun pengguna, sekaligus menaikkan kualiti hidup pesakit diabetes dan mengekalkan tisu homeostasis secara semulajadi, termasuk membaiki tisu yang rosak akibat diabetes.
“Kami mengambil langkah untuk menjalankan penyelidikan bagi tujuan penghasilan ubat oral diabetik ini kerana ia dilihat mempunya potensi besar, selain daripada kesan yang lebih efektif untuk rawatan ubat berbanding ubat diabetes sedia ada di pasaran masa kini.
“Selain itu, ia juga mampu memperbaiki paras hyperglycaemia dan hyperlipidemia tanpa menjejaskan struktur dan fungsi tisu kepada pesakit, disamping membantu memberikan kesan bagi menggalakkan sistem imun dan anti penuaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOA) syarikat itu bersama Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini baru-baru ini.
Majlis itu telah disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr Roziah Mohd Janor bersama Pengarah BiTCOM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr Syed Shatir Asghrar Syed Hassan.
Sementara itu, pengasas dan pengerusi eksekutifnya, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata kerjasama tersebut merupakan sebahagian daripada usaha UiTM melalui Pusat Perniagaan Inovasi dan Pengkomersialan Teknologi (BiTCOM) untuk mempercepat penemuan penting daripada hasil R&D.
“Ini adalah untuk manfaat bersama, manfaat negara dan masyarakat global secara amnya, dan produk ini dijangka akan dapat dipasarkan menjelang penghujung tahun 2022, bagi pasaran tempatan dan juga antarabangsa.
“Kami berharap untuk melihat lebih banyak projek R&D yang mempunyai daya saing daripada para penyelidik tempatan kita, sekaligus relevan dengan keperluan semasa, mampu memberi kesan berimpak tinggi kepada tahap kesihatan masyarakat dan selamat kepada pengguna.
“Untuk itu, produk kolaboratif bersama yang bernilai RM2 juta ini dijangka akan memberi harapan kepada pesakit diabetes,” katanya lagi.
Kerjasama itu turut melibatkan nilai keseluruhan Perlesenan Perjanjian sebanyak RM1.06 juta untuk tempoh tiga hingga lima tahun.
Sejak 2019, Bio Fluid dengan usahasama UiTM berjaya menghasilkan produk penjagaan kesihatan menerusi formulasi Bio Extreem melalui teknologi nano dan nutraseutikal, yang dihasilkan daripada minyak kelapa dara bagi memperoleh kompenen aktif, asid laurik.
