Ganding bahu dekati generasi muda: Japlin

Oleh: Zacherlyn E

KOTA BELUD: ARMADA dan Srikandi BERSATU Bahagian Kota Belud perlu berganding bahu bagi mendekati golongan muda sebagai usaha untuk mendengar pendapat serta pandangan mereka dalam menentukan dasar-dasar kerajaan.

Ketua Bahagian Datuk Japlin Akim berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan mereka adalah pelapis kepada kepimpinan negara pada masa hadapan.

Katanya suara serta pandangan generasi Y amat penting dan berperanan dalam menentukan kelangsungan Perikatan Nasional pada masa akan datang.

“Kita perlu mengambil inisiatif untuk mendekati generasi Y ini memandangkan mereka ini adalah golongan yang mudah terpengaruh dengan maklumat di media sosial tanpa soal selidik.

“Oleh itu, ARMADA dan Srikandi perlu memainkan peranan penting untuk mendengar pendapat serta pandangan menarik generasi muda sekaligus menepis segala tohmahan yang dilemparkan terhadap kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pertandingan Free Fire Terbuka Kota Belud di Kuala Abai di sini kelmarin.

Pertandingan itu terbuka kepada semua anak muda Kota Belud dan merupakan anjuran Persatuan Belia Kuala Abai Kota Belud.

Sebanyak 75 kumpulan mengambil bahagian dengan penyertaan empat ahli bagi setiap kumpulan.

Tinggalkan komen