Oleh: Zacherlyn E
KOTA MARUDU: Skuad Prihatin Negara (SPN) Bersatu Sabah menggerakkan anggota ke beberapa kampung bagi membantu membersihkan rumah mangsa bencana banjir di Sabah baru-baru ini.
Operasi tersebut disertai oleh Naib Ketua Armada Bersatu Malaysia, Ceasar Mendela Malakun bersama Penolong Setiausaha Srikandi Bersatu Sabah, Dato Redonah Bahanda.
Selain menyerahkan bakul makanan dan sumbangan wang tunai kepada mangsa bencana banjir Skuad Prihatin Negara Bersatu Sabah turut mengagihkan jet air untuk digunakan bagi membersih kawasan gereja dan kawasan yang teruk dilanda banjir lumpur.
Antara kampung yang terlibat ialah Kampung Morion, Kampung Batiton Kota Marudu, Gereja Katalik St Mary di Kampung Morion. Turut diziarahi ialah Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, Datu Roslin Datu Siabok.
Menurut Redonah yang juga Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Kota Marudu, penubuhan Skuad Prihatin Negara adalah bagi menyokong dan merealisasikan keprihatinan kerajaan terhadap isu-isu serta permasalahan rakyat.
“Skuad ini melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan dan kemanusiaan sebagai menepati hasrat untuk mendampingi rakyat di peringkat akar umbi.
“Menyedari akan keperluan semasa negara yang berhadapan dengan bencana banjir yang telah menjejaskan kehidupan seharian sebahagian penduduk di negeri kita mengambil inisiatif mewujudkan SPN dalam usaha membantu golongan yang terkesan semasa dan pascabanjir,” katanya semasa menyerahkan jet air dan bakul makanan di Kota Marudu pada Rabu.
Tambah Redonah, usaha itu merupakan gerakan berterusan daripada Srikandi Bersatu Sabah dan Armada Sabah untuk terus mendekati dan menyantuni rakyat di peringkat akar umbi di kala dilanda musibah.
“Kita akan sentiasa fokus dalam gerak kerja selaras dengan matlamat perjuangan parti yang ingin menyantuni rakyat di peringkat akar umbi di kala dilanda musibah.
“Kita akan sentiasa fokus dalam gerak kerja selaras dengan matlamat perjuangan parti yang ingin menyantuni rakyat dan berkongsi dengan apa yang kita mampu bersama mereka khasnya semasa rakyat ditimpa kesusahan akibat musibah seperti banjir yang melanda di negara,” katanya lagi.
Hadir sama ialah Ketua Penerangan Srikandi Bersatu Sabah Anna Bell Perian, Setiausaha Kerja Srikandi Bersatu Sabah Aziah Atoh, Pengerusi Biro Kebajikan Srikandi Bersatu Sabah Salmi Sarinoh, Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Kimanis Dg Hairena Awang Basir Ketua Srikandi Bersatu Bahagian Kota Belud Hasrina Wati Datuk Golkhan dan Ketua Armada Bahagian Papar Azrul Ibrahim.
