Pek Hero untuk petugas PPV IPT UMS

Oleh: Zacherlyn E

KOTA KINABALU: Sebanyak 160 Pek Hero berupa makanan disumbangkan kepada petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin Institusi Pengajian Tinggi Universiti Malaysia Sabah (PPV IPT-UMS).

Pembantu Menteri Belia dan Sukan Sabah Andy Muhammad Suryady Bandy berkata sumbangan itu adalah antara usaha dari Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) untuk menghargai penat lelah petugas barisan hadapan.

Sumbangan ini sebagai tanda penghargaan KBSS kepada semua petugas barisan hadapan di UMS yang bertungkus lumus memastikan proses pemberian vaksinasi berjalan lancar sejak hari pertama PPV ini dibuka,” katanya semasa hadir menyampaikan sumbangan yang disambut oleh Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin ketika sesi lawatan ke PPV IPT-UMS, di sini pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Batu itu juga menggesa orang ramai untuk segera mendaftar sebagai penerima vaksin melalui saluran yang disediakan oleh kerajaan.

“Sasaran imuniti kelompok akan lebih mudah dicapai sekiranya proses pemberian vaksin mendapat kerjasama dari semua pihak.

“Saya juga mengharapkan komitmen dari kerajaan Persekutuan agar bekalan vaksin untuk negeri Sabah dipercepatkan, agar tidak berlaku penangguhan pemberian vaksin seperti sebelum ini,” tambahnya.

Pada lawatan tersebut, beliau turut diberikan taklimat mengenai proses dan jumlah pemberian vaksin di PPV IPT-UMS sejak pusat itu mula beroperasi pada 14 Jun 2021.

Sehingga kini PPV IPT-UMS mencatat kumulatif pemberian sebanyak 21,449 dos dengan jumlah agihan 3,000 vaksin sehari.

Tinggalkan komen