Belia dan beliawanis luar bandar tidak dipinggirkan: Andy

Oleh: Zacherlyn E

KOTA KINABALU: Pembantu Menteri Belia dan Sukan, Andy Muhammad Surady Bandy memberitahu bahawa belia dan beliawanis di kawasan luar bandar tidak pernah dipinggirkan.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha untuk membawa pembangunan dan kemajuan serta mendengar segala keperluan mereka.

“Kita tidak pernah meminggirkan belia dan beliawanis di luar bandar dan kita juga mahu mereka sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dengan beriadah dan bersuka, walaupun mungkin terdapat kekangan dari segi kemudahan fasiliti sukan.

“Baru-baru ini (Rabu) saya bersama rakan-rakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pintasan Fairuz Renddan, ADUN Tempasuk Arsad Bistari dan ADUN Pantai Dalit Jasnih Daya bersama-sama mengiringi Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor ke Long Pasia dan kami turut membawa mesej gaya hidup sihat kepada belia di sana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Menurut Andy, pihaknya turut menyerahkan barang asas keperluan sukan seperti bola sepak, bola tampar dan jaring kepada belia dan beliawanis di Long Pasia semasa lawatan tersebut.

Tambah ADUN Tanjung Batu itu lagi, Kerajaan Negeri juga akan terus menggalakkan semua belia dan beliawanis untuk terus menyumbang idea-idea bernas kepada kerajaan khasnya dalam usaha untuk membangunkan kembali negeri Sabah kelak selepas kes harian COVID19 berjaya dikurangkan dan dilandaikan penularannya.

Tinggalkan komen