Peka dengan aspek keselamatan elektrik: ST

MATUNGGONG: Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST) Pantai Barat Sabah, Jefrey Nuri berkata orang ramai perlu sentiasa peka dengan aspek keselamatan elektrik di kediaman masing-masing.
 
Beliau berkata pendawaian elektrik perlu dilaksanakan berpandukan kepada piawaian teknikal yang telah ditetapkan oleh ST.
 
Katanya bagi mengelakkan kes-kes kemalangan elektrik Peranti Arus Baki (PAB) harus sentiasa diuji sekurang-kurangnya sebulan sekali bagi memastikan ia berfungsi memutuskan litar sekiranya terjadi kebocoran arus.
 
Jelasnya masyarakat perlu mengetahui kepentingan komponen Peranti Arus Baki (PAB) dalam sistem pendawaian elektrik yang mampu melindungi pengguna daripada renjatan elektrik sekiranya berlaku kebocoran arus atau litar pintas.
 
Beliau berkata demikian semasa majlis penutupan Program TouchPoint 2020 di Matunggong di sini kelmarin.
 
Dalam program ini kira-kira 20 buah rumah sekitar daerah Matunggong telah dilakukan pemeriksaan dan pembaikan sistem pendawaian elektrik.
 
Menurut Jefrey kajian yang dijalankan oleh ST mendapati kebanyakan kes kemalangan dan kebakaran yang berlaku berpunca daripada kecuaian pengguna yang tidak mengambil berat soal pendawaian elektrik yang selamat dan alat perlindungan yang sempurna.
 
“Justeru, ST mengambil inisiatif untuk menjayakan program-program kesedaran dan kemasyarakatan bagi meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai kepentingan PAB.
 
“Ini kerana PAB memerlukan pengujian secara berkala bagi memastikan ia dapat berfungsi dengan baik dan dapat melindungi nyawa. Suruhanjaya Tenaga (ST) meneruskan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memeriksa dan menambahbaik sistem pendawaian elektrik bagi 20 buah rumah lagi di sekitar Matunggong, Kota Marudu melalui program yang dinamakan sebagai Touchpoint.
 
Sebelum ini, ST turut melaksanakan  pemeriksaan dan pembaikan sistem pendawaian elektrik bagi 56 buah rumah di sekitar Ranau dan Sipitang .
 
Katanya kerja-kerja pembaikan telah mula dijalankan pada tahun lepas 16 Disember 2020, di mana sistem pendawaian yang rosak dan Peranti Arus Baki (PAB) pada Papan Agihan (Distribution Board) rumah-rumah yang tidak menepati standard dibaiki dan diganti.
 
Selain itu, kelengkapan elektrik yang digunakan isi rumah berkenaan turut ditukar kepada kelengkapan yang lebih cekap tenaga, dan diluluskan oleh ST. Kesemua pemilik rumah ini juga merupakan penerima bantuan eKasih.
 
Program Touchpoint merupakan sebahagian dari usaha ST untuk meningkatkan kesedaran orang awam tentang keselamatan elektrik, di samping membantu golongan yang tidak berkemampuan memastikan pendawaian elektrik di premis yang mereka duduki berada dalam keadaan selamat.

Tinggalkan komen