36 buah rumah terima bantuan tambahbaik sistem pendawaian

SIPITANG: Suruhanjaya Tenaga (ST) melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka dikenali sebagai Touchpoint, membuat pemeriksaan dan penambahbaikan sistem pendawaian bagi 36 buah rumah di sini.

Antara penambahbaikan yang dibuat termasuklah penggantian Peranti Arus Baki (PAB) pada Papan Agihan (Distribution Board), pembaikan sistem pendawaian yang rosak serta penggantian kelengkapan elektrik kepada kelengkapan yang mempunyai kelulusan ST.

Kerja-kerja pembaikan tersebut telah mula dijalankan pada 17 Disember 2020 lalu.

Pengarah Kawasan ST Pantai Barat Sabah, Jefrey Nuri berkata orang ramai perlu sentiasa peka dengan aspek keselamatan elektrik di kediaman masing-masing, dan pendawaian elektrik perlu dilaksanakan berpandukan kepada piawaian teknikal yang telah ditetapkan oleh ST.

“Sebagai langkah untuk mengutamakan keselamatan elektrik, ST menasihatkan orang ramai untuk melantik orang kompeten yang berdaftar dengan ST bagi menjalankan kerja-kerja pendawaian tersebut.

“Pengujian PAB sekurang–kurangnya sekali sebulan adalah penting bagi mengelakkan kes–kes kemalangan elektrik yang boleh meragut nyawa,” katanya pada Majlis Penutup Program Touchpoint 2020 bersama dengan pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) dan Bomba dan Penyelamat Sipitang, di sini hari ini.

Taklimat ringkas mengenai keselamatan elektrik untuk penduduk setempat turut diadakan dalam meningkatkan kesedaran orang ramai tentang keselamatan elektrik.

Turut hadir ialah Pemimpin Pembangunan Masyarakat N35 Sindumin, Sani Miasin.

Program Touchpoint merupakan sebahagian dari usaha ST untuk membantu golongan yang tidak berkemampuan memastikan pendawaian elektrik di premis yang mereka duduki berada dalam keadaan selamat.

Tinggalkan komen