Tambahbaik sistem pendawaian untuk keselamatan

RANAU: Sebanyak 207 buah rumah di Kampung Lohan 1, telah ditambahbaik sistem pendawaian elektrik oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) melalui program tanggungjawab sosial (CSR).

Pegawai ST membuat pemeriksaan sistem pendawaian elektrik dan menambahbaik kesemua rumah-rumah tersebut melalui program yang dinamakan sebagai Touch Point.

Selain pemeriksaan dan penambahbaikan sistem pendawaian elektrik, termasuk penukaran suis, soket dan Peranti Arus Baki (PAB), ST turut menekankan kepentingan pengujian PAB sekurang-kurangnya sebulan sekali kepada penghuni rumah berkenaan, bagi memastikan ia berfungsi untuk memutuskan litar sekiranya terjadi kebocoran arus.

Sementara itu, Pengarah Kawasan Suruhanjaya Tenaga Pantai Barat Sabah, Jefrey Nuri berkata, pemasangan sistem pendawaian di premis kediaman orang awam dipasang dipasang mengikut standard pendawaian yang ditetapkan oleh ST adalah penting.

“Atas sebab itu, ST menasihatkan agar orang awam menggunakan khidmat atau melantik kontraktor yang berdaftar dengan ST bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya semasa Majlis Penutupan Program Touchpoint tersebut bersama pihak Sabah Electricity Sdn. Bhd. (SESB) di sini pada Isnin.

Turut diadakan adalah taklimat ringkas mengenai keselamatan elektrik untuk penduduk setempat.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan, Mohd Hisyamuddin Harun turut hadir semasa majlis tersebut.

Program Touchpoint merupakan aktiviti tahunan yang dijalankan oleh ST bagi meningkatkan kesedaran orang awam tentang keselamatan elektrik, di samping membantu golongan yang tidak berkemampuan dalam memastikan pendawaian elektrik di premis yang mereka duduki berada dalam keadaan selamat.

Tinggalkan komen