Oleh: Zacherlyn E
KOTA KINABALU: Exco ARMADA Nasional, Johainizamshah Johari menyeru ibu bapa untuk meletakkan keyakinan kepada tahap kebersihan di sekolah-sekolah yang dihadiri oleh anak-anak selepas sesi persekolahan dimulakan semula.
Katanya, kehadiran anak-anak mereka di sekolah untuk menjalani sesi persekolahan dan pembelajaran adalah satu perkara yang perlu disyukuri.
“Saya ingin mengajak ibu bapa untuk terus memupuk dan menasihati anak-anak agar sentiasa mematuhi SOP di sekolah, yakin dengan pengendalian tahap kebersihan yang dikendalikan oleh pihak sekolah dan memberi sokongan padu dalam usaha memupuk kerjasama antara ibu bapa dan guru-guru.
“Pastinya bukan mudah sesi persekolahan kali ini kerana anak-anak kita berdepan dengan cabaran untuk terus mematuhi kawalan kendiri dan belajar dalam masa yang sama,” katanya semasa hadir dalam Program Sanitasi Sekolah anjuran Biro Strategi dan Kepimpinan di Sekolah Kebangsaan Rampayan, Menggatal pagi tadi.
Tambah Johainizamshah lagi, masa depan negara adalah ditentukan oleh prospek modal insan, bermula dari bangku sekolah.
“Kita sebagai generasi pertengahan, yang melalui sendiri pancaroba peralihan zaman persekolahan ke alam pekerjaan, sudah tentu kita adalah pihak yang merasakan adanya tanggungjawab yang perlu kita jalankan, terutama untuk memastikan anak-anak generasi baharu dapat terus menjadi modal insan peneraju kejayaan negara kelak,”katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Biro Ekonomi ARMADA BERSATU Negeri Sabah, Affan Jumahat berkata matlamat utama program itu diadakan adalah bagi memupuk kesedaran kepada semua pihak dan menyampaikan mesej tentang tanggungjawab pihak sekolah dalam menjaga keselamatan dan kesihatan murid-murid.
“Dengan program yang kita jalankan hari ini, kita dari ARMADA BERSATU, amat berharap agar ibu bapa tidak berat hati untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah.
“Selain itu, kita juga berharap semoga wabak COVID19 ini dapat segera dilenyapkan agar semua anak-anak kita di sekolah, dapat belajar dan menjalani rutin harian seperti mengikuti aktiviti kokurikulum dengan gembira,” ujarnya.
Antara yang turut serta dalam program itu ialah Biro Tugas-Tugas Khas ARMADA Negeri Sabah Mohd Shah Fareed Awang Sham dan Penasihat Ahli Parlimen Belia Malaysia Sabah Ahmad Tajuddin Datuk Gurahman.



