Terus lindungi hak pengguna: David

KOTA KINABALU: Presiden Persatuan Pengguna Bijak Pantai Barat Sabah, David Chan menyeru semua pihak untuk terus peka dengan hak pengguna dan tidak mengambil kesempatan dalam urus niaga yang dijalankan.

“Kita dari pihak persatuan, amat berharap supaya semua pihak menjadi pengguna dan penjual yang bertanggungjawab.

“Saling menjaga kepentingan di antara satu sama lain terutama dalam proses urus niaga, telus dan tidak mengambil manfaat yang tidak sepatutnya kerana kita semua adalah satu komuniti yang saling bergantung dan memerlukan satu sama lain,” katanya semasa sesi kunjungan hormat kepada Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, Norliza Awang Alip di Bangunan DBKK pada Rabu.

Kunjungan hormat itu turut disertai oleh Penaung Persatuan yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Datuk Amisah Yassin bersama ahli jawatankuasa yang lain.

Menurut David, persatuannya juga ingin menjalinkan hubungan erat dengan pihak DBKK dan bekerjasama dalam lebih banyak urusan khasnya dalam usaha memberi kesedaran kepada pengguna tentang hak-hak mereka.

“Sebelum ini, saya ialah Ketua Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) dan kini saya teruskan usaha saya bersama persatuan yang baharu dengan fokus untuk memperjuangkan objektif utama, membawa suara pengguna.

“Sebagai sebuah persatuan pengguna, pastinya kami mahu mengambil maklum dan mendengar masalah dan keluhan dari akar umbi khasnya yang terkesan dengan masalah ekonomi masa kini seperti penjaja-penjaja kecil, penggerai dan pengusaha kerana kami yakin, usaha dan tindakan kita bersama pasti dapat membantu menyelesaikan masalah yang diadukan kepada kita,” katanya lagi.

Tambah David lagi, pihaknya juga sentiasa peka dan akan menghulurkan bantuan kepada mana-mana kelompok masyarakat yang memerlukan bantuan berkaitan isu kepenggunaan.

“Objektif utama Persatuan adalah untuk memberi pengetahuan kepada pengguna kerana kebanyakan masyarakat tidak menyedari bahawa mereka (orang awam) dilindungi oleh Akta Perlindungan Pengguna 1999.

“Tidak ramai pengguna sedar dan tahu yang mereka mempunyai hak dalam isu kepenggunaan,”katanya.

Sementara itu, Amisah berkata sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kepenggunaan, sudah tentu keutamaan persatuan itu ialah membantu pihak berkuasa untuk memberi kesedaran kepada para pengguna agar sentiasa menjadi pengguna yang bijak supaya tidak mudah tertipu oleh mana mana pihak yang tidak bertanggungjawab.

“Rancangan jangka panjang persatuan itu adalah mengadakan lebih banyak kempen kesedaran tentang tanggungjawab sebagai seorang pengguna khasnya di luar bandar yang mana masih ramai belum mengetahui peranan mereka sebagai pengguna bijak dan juga Akta Kerajaan yang memberi perlindungan kepada pengguna.

“Persatuan ini juga akan memainkan peranan situasi menang-menang di mana pengguna tahu hak hak mereka dan pihak perniaga bertanggungjawab, tidak mengambil kesempatan menaikkan harga barang yang tidak berpatutan khasnya barang barang keperluan atau makanan dalam keadaan kita menghadapi wabak COVID19, atau semasa menyambut perayaan seperti Hari Krismas, Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidil Fitri, Deepavali atau Pesta Keamaatan.

“Persatuan ini juga akan menjadi mata dan telinga kepada Kementerian Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna untuk memantau tidak ada skim cepat kaya atau penyebaran maklumat palsu yang berleluasa sekarang,”tegasnya.

Kata Amisah masyarakat perlu sentiasa peka terhadap masalah kepenggunaan di sekeliling mereka dan melaporkan kepada pihak yang berkuasa khasnya KPDNHEP sekiranya Persatuan berkenaan menerima apa-apa aduan daripada pihak perseorangan atau lain-lain badan pertubuhan.

“Persatuan ini berharap dapat bekerjasama dengan pihak DBKK dalam apa jua aktiviti atau program kepenggunaan yang akan diadakan oleh pihak DBKK,” ujar beliau lagi.

Tinggalkan komen