PUTATAN: Ketua ARMADA Bahagian Putatan, Mohd Isquzawan Israq Arsit mengajak semua pihak yang berkemampuan untuk berkongsi dan membantu golongan yang kurang bernasib baik terutama dalam keadaan semasa yang dihimpit dengan kemelut ekonomi dan kesihatan.
“Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah kenalan atau saudara kita, namun sedikit perhatian dan bantuan yang kita berikan pasti mampu memberi sinar harapan kepada mereka.
“Misalnya jika mereka memerlukan bantuan untuk kos perubatan, pendidikan anak-anak dan kebajikan harian,” katanya semasa menziarahi Arrafi Ambro di Kampung Ulu Putatan yang merupakan mangsa nahas dirempuh kenderaan pada Oktober tahun lalu.
Isquzawan bersama rombongan turut disertai oleh Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Latif Jiar.
Semasa ziarah itu, sumbangan berupa makanan dan kerusi roda turut diberikan kepada Arrafi.
Selain itu, rombongan ziarat turut meluangkan masa melawat Jamatin Hassan di Kampung Dumpil dan turut memberikan sumbangan kepadanya.
