KOTA KINABALU: Ketua ARMADA BERSATU Bahagian Putatan, Mohd Isquzawan Israq Arsit bersama belia-belia Kampung Sembulan Lama hari ini bersama-sama dalam aktiviti gotong royong.
Aktiviti itu adalah bagi menyiapkan kerja-kerja menyimen perkarangan rumah wakaf di kampung tersebut.
“Hasil usaha bersama dan tenaga yang digabungkan, aktiviti ini akhirnya dapat kita realisasikan dan saya amat berterima kasih kepada belia-belia, ketua kampung dan semua yang turut sama dalam aktiviti kita hari ini,”katanya.
Dalam pada itu, Isquzawan turut berkata jika pusat ekonomi belia di kampung itu dapat diwujudkan dan tapak kios bagi tujuan aktiviti perniagaan, pasti ia mampu membuka peluang perniagaan kepada penduduk di kawasan kampung itu.
“Jika ada pusat ekonomi belia, pasti akan memberi manfaat khasnya untuk aktiviti perniagaan kecil-kecilan dalam kampung.
“Kita ARMADA bagi Bahagian Putatan akan bersedia untuk membantu mana-mana yang berpotensi untuk dijadikan pusat ekonomi belia khasnya dalam kawasan kampung, seperti yang sudah ada di Kampung Meruntum yang kini sudah hampir 80 peratus siap,”tambahnya lagi.
Hadir sama dalam acara gotong royong itu ialah Ketua Kampung Omar Baki Aliakbar, Pemaju Masyarakat Tanjung Aru Sani Yusuf, UPPM Tanjung Aru Mohd Reduan Datuk Aklee, Pengerusi JPKK Ramlan Dzulkarnain Haim dan ahli jawatankuasa JPKK Sembulan Lama.
