Luahan cinta dalam lagu

Oleh: Osamu

Meskipun arena seni dalam kesuraman sejak pandemik COVID19 melanda dunia, namun ia bukan penghalang untuk pendatang baharu, UFL mara ke depan berkongsi bakat nyanyian.

Tampil dengan single sulung, Iqrar, pemilik nama sebenar Datu Muhammad Farid Datu Liman, 31, ini juga bersyukur apabila karya ciptaan beliau sepenuhnya itu diterima oleh stesen radio tempatan.

“Masa pandemik ini, memang tidak ada show terbuka di mana-mana, jadi aktiviti mempromosikan karya dan kerja seni lebih ke arah menggunakan platform sosial. Untuk jangka masa yang panjang, saya rasa media sosial akan lebih meluas pengaruhnya.

“Dalam masa sama, saya bersyukur apabila single pertama sudah mula dimainkan oleh stesen radio SabahFM. Sebelum ini, lagu ini hanya pernah dimainkan pada majlis tilawah al-Quran dan festival nasyid.

“Saya harap kehadiran saya dalam arena seni tempatan dapat diterima, dan juga untuk lagu Iqrar mendapat perhatian ramai, selain boleh menjadi alternatif untuk dimainkan di mana-mana majlis perkahwinan dan lain-lain,” katanya.

Bercakap tentang Iqrar, UFL berkata lagu terbabit berkisarkan tentang ikrar seorang suami untuk mencintai isterinya dan dalam masa sama mengharapkan isterinya juga mencintainya selamanya.

Akui guru pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Tagaroh, Kota Marudu itu, Iqrar diinspirasikan daripada hubungan cinta bersama isteri.

“Lagu ini saya cipta pada bulan Ramadan tahun lalu… Selepas berbuka puasa, idea itu datang dan disempurnakan selepas solat Tarawih pada malam sama.

“Saya harap Iqrar dapat menjadi sebuah lagu yang menyatukan hati suami isteri kerana lagu ini menceritakan perihal perkahwinan dan dugaan sepanjang perkahwinan secara ringkas yang akhirnya menjadikan pasangan itu matang dan mengejar reda Allah,” katanya, yang juga pengasas merangkap pengerusi Pertubuhan Kebajikan Al Fateh Sabah (FKAS).

Beliau yang mempunyai niat murni untuk berdakwah menerusi karya, turut percaya bahawa seni muzik boleh mempengaruhi seseorang baik dari segi emosi dan juga tingkah laku.

“Sebab itu, saya memilih untuk dikenali dengan lagu-lagu kerohanian agar dapat memberikan kesan positif kepada pendengar,” katanya.

Sebelum menutup perbualan, UFL mendedahkan dia dalam proses untuk keluar dengan single kedua.

“Alhamdulillah, sekarang saya ada dua buah lagu iaitu Asif atau Hikmah untuk dijadikan sebagai single kedua saya kelak.

“Kedua-dua lagu ini adalah berlainan secara keseluruhannya, cuma nak tengok mana yang saya akan keluarkan terlebih dahulu,” katanya.

Untuk rekod, lagu ciptaan UFL Teman Pilihan, yang dinyanyikan oleh kumpulan Sautun Nidair Rahmah Sekolah Menengah Agama (SMA) Toh Puan Hajah Rahmah, pernah sampai ke Peringkat Kebangsaan Festival Nasyid Kementerian Pendidikan Malaysia pada 2008.

Video lirik Iqrar boleh ditonton di saluran YouTube, UFL tv.

Tinggalkan komen